Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 17, 2016

TINDAKAN TEGAS, TANPA KOMPROMI MERAH ATAU KUNING


Zahid Hamidi


Kuala Lumpur - Kerajaan tetap bertegas akan mengambil tindakan kepada kedua-dua pihak sama ada penyokong baju merah atau kuning berhubung penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang Sabtu ini.

"Itulah sebaik-baiknya yang perlu dilakukan, dan Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dari segi tindakan yang akan dilakukan terhadap mereka,"kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di lobi Parlimen, di sini.

Beliau berkata, kerajaan tetap dengan pendirian seperti mana yang dibentangkan pada sesi penggulungan ucapan belanjawan KDN yang lalu.

"Saya telah nyatakan mengenai hal ini. Mereka hendaklah batalkan sahaja niat untuk mengadakan perarakan itu," katanya.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata tiada pengecualian akan buat pada mana-mana pihak yang tidak mengikut tatacara pembelian dan menggunakan dokumen palsu untuk membeli perolehan perabot.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menggunakan dokumen palsu dalam penyelesaian pembelian perabot dan bayaran tidak wajar dibuat sebelum perabot dibekalkan.

"Saya akan serahkan (laporan) kepada Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim untuk menjawab. Pendirian saya, jika terdapat tatacara yang salah, tindakan akan dilakukan," katanya.

Zahid berkata, beliau memihak kepada laporan yang dibuat oleh PAC berdasarkan kepada apa yang diperoleh daripada Ketua Audit Negara.

"Kita tidak boleh berkompromi atau lindungi mana-mana pihak," katanya.

Dalam laporan itu juga, Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata, perancangan perolehan perabot kurang teliti dengan bangunan belum siap bagi membolehkan pembekalan perabot dibuat, selain tiada tawaran sebut harga daripada kontraktor tempatan.

Sebaliknya, sebut harga adalah daripada syarikat yang beralamat di Bangi, Shah Alam dan Kuala Terengganu, manakala perolehan perabot tidak dibuat melalui kontrak pusat sistem panel dan kebenaran Perbendaharaan Malaysia tidak diperoleh terlebih dahulu.

Hasan berkata, spesifikasi khusus tidak ditentukan semasa tawaran sebut harga, lalu menyebabkan pengesahan barangan tidak dapat dilakukan. Sedangkan perkara itu penting bagi memastikan barang yang diterima mengikut keperluan pembelian dan peralatan belum dipasang atau diuji dengan sempurna kerana bangunan masih belum siap dibina.

PAC membentangkan Laporan Pengurusan Perolehan Perabot Bagi Cadangan Pembinaan Semula Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam, di bawah KDN yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 di Dewan Rakyat pada 6 April tahun lalu.


0 comments:

share2