Seorang lelaki ditahan bersama empat remaja yang diperalatkan untuk mengutip derma daripada orang ramai termasuk pelanggan restoran di sini, kelmarin.
Susulan pemeriksaan ke atas suspek dan empat remaja terbabit, polis merampas wang tunai RM964 dipercayai hasil kutipan, telefon bimbit, produk kesihatan gel herba, kalendar, kad nama dan surat atas nama sebuah pertubuhan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung kegiatan itu sebelum beberapa anggota ke sebuah restoran di Lorong Tun Ismail 1 di sini untuk melakukan intipan dan pemeriksaan.
Menurutnya, semasa pemerhatian dilakukan, anggota bertugas mengesan seorang remaja berusia 17 tahun sedang mengutip derma daripada pelanggan yang berada di restoran tersebut.
“Polis menahan remaja lelaki itu untuk pemeriksaan dan menemui sebuah telefon bimbit, wang tunai RM145, sekeping kad nama tertera nama sebuah pertubuhan dan sekeping surat pertubuhan serta 11 botol ubat tertera gel herba.
“Hasil soal siasat, remaja itu mendedahkan dia bersama tiga lagi rakan diarahkan seorang lelaki menaiki kereta jenis Naza Citra berwarna hitam untuk mengutip derma,” katanya.
Abdul Aziz berkata, bertindak atas maklumat, polis ke sebuah stesen minyak di Tanjung Lumpur di sini dan menjumpai kereta yang dimaksudkan.
Katanya, polis menghampiri kereta berkenaan untuk membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati empat lelaki berada dalam kereta tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas pemandunya, polis temui sebuah beg silang berisi wang RM112 dan satu telefon bimbit, kad nama, sebuah buku rekod hasil kutipan derma bertarikh 18 Februari hingga 8 November 2016.
“Hasil pemeriksaan terhadap tiga lagi penumpang, polis menjumpai tiga telefon bimbit, wang tunai RM707, kad nama dan tiga surat pertubuhan tersebut, 11 botol ubat tertera gel herba dan tujuh kalendar,” katanya.
Abdul Aziz berkata, pemandu berusia 22 tahun itu disyaki individu yang mengatur remaja terbabit menjalankan kegiatan itu di sini.
Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke rumah sewa mereka di Kota SAS di sini dan menemui tiga tabung derma juga atas satu nama yang dipercayai ada kaitan dengan pertubuhan tersebut.
Katanya, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Eksploitasi Kanak-Kanak).
Manakala empat remaja berusia 15 hingga 20 tahun diselamatkan mengikut Seksyen 44 ATIPSOM (Remaja Kutip Derma Yang Diselamatkan).
0 comments:
Post a Comment