Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 7, 2016

KANAK-KANAK KINI LEBIH PANDAI


Kanak-kanak kini lebih pandai


Tangkak - Sistem pendidikan prasekolah yang disediakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerusi kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) sesuai bagi perkembangan awal kanak-kanak.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, justeru, kanak-kanak berusia seawal 4 hingga 6 tahun adalah golongan bertuah kerana berpeluang mengikuti pendidikan yang disediakan itu.

“Kanak-kanak generasi sekarang lebih beruntung kerana dapat menikmati pembelajaran prasekolah yang disediakan kerajaan berbanding generasi lama.

“Jika dilihat masa dulu, sistem pendidikan prasekolah masih belum wujud. Jadi kanak-kanak ketika itu tak berpeluang mendapat pengalaman dan pendidikan kerana mereka terus menjalani kehidupan sebagai pelajar ketika memasuki alam persekolahan sebenar,” katanya ketika merasmikan Mini Konvokesyen Tabika Kemas Daerah Tangkak 2016 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, melalui sistem pendidikan prasekolah, beliau yakin kanak-kanak generasi kini akan mempunyai lebih potensi dalam asas pendidikan seperti membaca, menulis dan mengira.

“Jika dilihat, golongan yang mendapat pendidikan prasekolah hari ini mampu memahami kurikulum yang diajar dengan lebih cepat, termasuk aktiviti kokurikulum seperti nasyid, nyanyian dan tarian.

“Tahap pemahaman dan penguasaan ilmu pendidikan di peringkat prasekolah kini lebih baik apabila mereka turut diajar pendidikan agama termasuk menghafaz surah lazim,” katanya.

Menurutnya, beliau berterima kasih dan menyanjung tinggi pengorbanan guru tadika atau Pemaju Masyarakat yang memberikan bimbingan kepada anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

“Penganugerahan sijil itu bagi memberikan penghargaan kepada kanak-kanak yang telah berjaya mengikuti pendidikan prasekolah anjuran Kemas sebagai persediaan mereka melangkah ke alam persekolahan," katanya.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Pengarah Kemas Johor, Abdullah Morad; Pegawai Kemas Daerah Tangkak, Norlian Mokhtar dan Penyelia Kanan Kemas Daerah Tangkak, Kamsiah Daros.

Sempena mini konvokesyen itu, seramai 356 kanak-kanak berusia 6 tahun dari 67 Tabika Kemas di daerah ini menerima sijil pengiktirafan masing-masing.


0 comments:

share2