Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 8, 2016

‘INI KEJADIAN PALING NGERI'


‘Ini kejadian paling ngeri’


Tangkak - “Ini adalah kejadian paling ngeri pernah berlaku di kampung ini,” kata seorang penduduk asal Jalan Kesang Laut, di sini, Daud Sulaiman, 56, mengenai penemuan anggota badan manusia yang dikerat di kampung itu, kelmarin.

Menurut Daud, sehari sebelum anggota badan itu ditemui, penduduk di situ merungut mengenai bau busuk sejak beberapa hari lalu.

“Kami dah mula terhidu bau ini sejak tiga empat hari lalu, tapi waktu itu baunya tidaklah begitu kuat dan kami anggap mungkin ada haiwan mati atau sampah di sekitar kediaman penduduk.

“Namun, pada malam Sabtu lalu, pemilik rumah yang terletak betul-betul di hadapan lokasi kejadian ini buat majlis kenduri dan masa itu saya lihat bau tersebut mengganggu penduduk selain kehadiran lalat yang agak banyak berbanding selalu,” katanya.

Daud berkata, dia dan penduduk kampung langsung tidak menyangka bau yang mengganggu mereka selama ini adalah bau mayat manusia yang telah dikerat dan dibungkus sebelum diletakkan di bawah pembetung saluran air longkang .

“Sebaik mengetahui kejadian dan punca sebenar memang kami rasa sangat terkejut dan panik kerana selama ini kami hidu bau mayat.

“Memang seluruh penduduk menyifatkan inilah kejadian yang paling ngeri dan pastinya ia tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik kediaman di situ terkejut apabila melihat kaki manusia di bawah pembetung konkrit ketika sedang membersihkan halaman rumahnya kira-kira jam 3 petang.

Polis yang menerima laporan selepas itu bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemui lima bungkusan plastik mengandungi anggota badan dipercayai telah dikerat kepada beberapa bahagian dengan kepala mangsa tidak ditemui.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan kepala mangsa yang ditanam tidak jauh dari tempat anggota badan berkenaan ditemui.

“Kami percaya mangsa telah dibunuh lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat berkenaan. Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri ditemui,” katanya.

Mohad Idris berkata, suspek dalam kes itu berjaya ditahan kurang sejam di kawasan berhampiran dan hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.


0 comments:

share2