Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 20, 2016

‘DRAMA' SUAMI ISTERI TAK MENJADI


‘Drama’ suami isteri tak menjadi


Melaka Tengah - Satu pasangan suami isteri sanggup 'berdrama' kira-kira 30 minit dengan anggota penguat kuasa kononnya mereka berdua tidak mempunyai apa-apa hubungan dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Udang, di sini, semalam.

Malah, demi melepaskan diri daripada ditangkap, kedua-duanya sanggup berpura-pura mengatakan dua kanak-kanak lelaki berusia 3 dan 5 tahun di dalam rumah tersebut adalah anak buah mereka yang perlu dijaga selepas kematian bapa sementara ibu mereka hilang dan gagal dikesan.

Bagaimanapun, tembelang pasangan berusia 48 dan 38 tahun itu pecah apabila si isteri akhirnya mengaku lelaki berkenaan adalah suaminya dan kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah anak mereka selepas diasak soalan demi soalan daripada anggota penguat kuasa.

Pembohongan mereka juga tidak masuk akal kerana bukan sahaja gagal menunjukkan sijil kematian ‘bapa’ kanak-kanak terbabit, malah anggota penguat kuasa menemui bingkai gambar terpampang wajah keempat-empat beranak dengan pakaian sedondon yang dikatakan diambil di sebuah studio sempena hari raya.

Wanita terbabit yang mengaku berasal dari Sabah kemudian ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri termasuk pasport, sementara suaminya ditahan selepas disyaki melindungi seorang lelaki pekerja asing tanpa izin (Pati) berusia lingkungan 40-an di rumah tersebut.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman berkata, lelaki juga pemegang kad pengenalan hijau, isterinya dan seorang lagi lelaki yang turut tinggal di dalam rumah tersebut diserahkan kepada penguat kuasa Imigresen yang turut menyertai serbuan untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan dalam operasi bersepadu ID JPN yang disertai 32 anggota termasuk dari Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir lima jam bermula 12 tengah tengah malam.

“Dalam operasi ini kita menahan 13 lelaki warga asing berusia 19 hingga 40 tahun yang berasal dari Indonesia dan Filipina kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain,” katanya selepas operasi yang melibatkan 32 anggota menyerbu lapan lokasi di sekitar Ayer Molek, Batu Berendam dan Sungai Udang tamat kira-kira 4.30 pagi semalam.

Norazle berkata, daripada 13 lelaki yang dipercayai pekerja kilang dan buruh binaan, hanya terdapat seorang disyaki menggunakan kad pengenalan orang lain dan kesemua mereka ditahan untuk disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Mereka ditahan ketika pemeriksaan dijalankan di dua buah premis rumah kedai di Taman Merdeka dan kediaman di Tiang Dua, Tambak Paya, Paya Rumput dan Sungai Udang termasuk beberapa orang yang memberi pelbagai alasan bagi mengelak ditahan penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, seramai 12 individu ditahan penguat kuasa Imigresen dalam operasi berkenaan selepas siasatan awal dilakukan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalan yang sah dan seorang daripadanya melindungi pendatang asing tanpa izin.


0 comments:

share2