Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 5, 2016

ROS BOLEH AMBIL TINDAKAN. KATA JAZLAN


Nur Jazlan


Putrajaya - "Tindakan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang berterusan mempromosikan parti itu sebagai 'Bersatu' hanya akan mengundang tindakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas tindakan Presiden Penaja parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan parti itu yang masih menggunakan nama Bersatu pada kain rentang dan ceramah parti, Nur Jazlan berkata, ia bertentangan dengan syarat kelulusan yang diberikan RoS, iaitu perlu menggunakan akronim PPBM dan bukannya Bersatu.

Berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, katanya, penggunaan nama Bersatu bagi mempromosikan parti boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan kerana jelas penggunaannya melanggar perlembagaan PPBM dan syarat-syarat dalam akta berkenaan.

"Mereka tidak hiraukan arahan RosS dan RoS boleh mengambil tindakan kerana parti itu tidak mematuhi syarat kelulusan sesebuah pertubuhan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara di sini, hari ini. 

Dalam isu berasingan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang turut serta pada sidang media itu berkata, polis akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap sembilan warga Australia yang ditahan kerana memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang semasa menyaksikan Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia di Sepang, Ahad lalu.

"Biar kita siasat dulu... kita kena tengok kesalahan lain yang mungkin dibuat yang tidak dinyatakan yang mewajarkan mereka ditahan," katanya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali semalam berkata kesemua lelaki berumur 25 hingga 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dengan niat sengaja mengaibkan bertujuan untuk memecah-belahkan keamanan serta berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Kesemua mereka direman empat hari. Gambar sekumpulan lelaki memakai seluar dalam Jalur Gemilang viral di laman sosial dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.


0 comments:

share2