Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 25, 2016

PONDOK BAHARU SIAP DIBINA


Pondok baharu siap dibina


Pasir Mas - Pelajar yang terlibat dengan kebakaran di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Pondok Gelang Mas, lega apabila pondok kediaman milik mereka yang musnah sebelum ini sudah digantikan dengan binaan baharu.

Binaan yang menggunakan kayu sepenuhnya itu dilihat lebih tersusun dan selesa berbanding sebelum ini.

Situasi itu sekali gus dilihat mampu membangkitkan semangat pelajar yang terlibat dengan kebakaran itu untuk meneruskan pengajian dengan penuh semangat di madrasah berkenaan.

Bagi mangsa kebakaran, Mohd Hafizudin Helmi, 24, mengakui dia semakin bersemangat untuk meneruskan pengajian walaupun masih lagi terkenangkan kejadian itu.

“Saya akui kejadian itu masih lagi segar dalam ingatan, namun semuanya sudah berlalu.

“Apa yang penting ketika ini, saya perlu fokus kepada pengajian dan mengalami seberapa banyak ilmu sebelum melangkah keluar,” katanya.

Menurutnya, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua penderma di atas sumbangan yang dihulurkan untuk mendirikan semula pondoknya yang musnah dalam kebakaran tersebut.

“Alhamdulillah, selepas menunggu beberapa bulan pondok saya yang musnah dalam kebakaran tersebut sudah pun digantikan dengan binaan baharu.

“Dengan adanya, pondok baharu, saya lebih bersemangat untuk terus mendalami ilmu sebelum melangkah keluar daripada madrasah ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Ismail, 17, berkata, sebelum ini, dia terpaksa menumpang di pondok milik salah seorang rakannya bagi meneruskan pengajian selepas terlibat dalam kebakaran tersebut.

Katanya, pondok baharu itu lebih selesa dan dilengkapi kemudahan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan yang terlibat dengan kebakaran itu telah tinggal di pondok baharu ini sejak sebulan lalu sebaik sahaja ia siap dibina,” katanya.

Pada 5 Oktober tahun lalu menjadi detik hitam buat 60 pelajar Madrasah Ad-Diniah Yusufiah selepas pondok kediaman mereka terbakar.

Kejadian jam 8.15 malam itu menyebabkan semua pelajar terlibat tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan milik mereka gagal diselamatkan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku ketika itu kerana semua pelajar sedang mengikuti kelas al-Quran di masjid yang terletak beberapa meter sahaja dari lokasi kejadian.


0 comments:

share2