Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 1, 2016

[MARAN] BAYI 4 BULAN PENGHUNI TERMUDA


Bayi 4 bulan penghuni termuda


Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah di sini, menerima bayi berusia empat bulan sekali gus menjadikannya warga termuda maahad tersebut, tahun ini. Pengetua dan pengasasnya, Azizah Khatib Mat berkata, Adam Yusuf, berusia empat bulan, baharu sahaja diserahkan di bawah penjagaannya dan dijadikan anak angkat oleh pengurusan maahad.

“Sebelum ini, penghuni kita yang paling muda berusia lima tahun. Adam diserahkan Hospital Temerloh untuk jagaan dan didikan maahad.

"Insya-ALLAH, bayi ini akan dipelihara seperti anak sendiri dan akan meneruskan pembelajaran di maahad ini seperti penghuni lain," katanya ketika ditemui pemberita di Maahad tersebut di Kampung Paya Pasir, di sini. Menurutnya, sebelum ini pengurusan maahad menetapkan syarat kemasukan penghuninya berusia 13 tahun bermula tahun hadapan. "Bagaimanapun, Adam adalah kes istimewa kerana ia dirujuk hospital secara terus kepada saya," katanya. Beliau berkata, bermula tahun depan, syarat kemasukan akan diperketat antaranya, maahad tidak lagi menerima kemasukan pelajar di bawah 13 tahun bagi mencegah sebarang permasalahan.

"Kelulusan tidak penting untuk memasuki maahad ini tetapi latar belakang calon akan diambil kira.

“Ada juga pihak luar yang hendak merujuk pelajar bermasalah kepada saya tetapi kita tak dapat terima kemasukan pelajar sedemikian kerana maahad ini bukan pusat pemulihan. Kita menapis kemasukan pelajar bagi mencegah masalah di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah adalah pusat pendidikan berasrama penuh, pengajian, pendidikan dan penginapan anak anak yatim.

"Pelajar diberi penekanan di dalam aspek akhlak, al Quran dan akidah ahli Sunnah sesuai dengan matlamatnya bagi melahirkan pemimpin berakhlak mulia. "Maahad kini menampung sejumlah 80 pelajar dan akan membuka kemasukan pelajar baru tahun depan," katanya.


0 comments:

share2