Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 1, 2016

[BERA] SASAR PETANI MILIKI SIJIL MYGAP


Sasar petani miliki sijil myGAP


Pejabat Pertanian Daerah Bera menyasarkan lebih ramai petani dan peladang di daerah ini memiliki sijil Amalan Ladang Pertanian Baik (myGAP) bagi membolehkan hasil pertanian mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Pegawainya, Nor Illyana Anour berkata, setakat ini terdapat 13 peladang sudah memiliki sijil myGAP manakala 10 orang lagi dalam proses terakhir pemilikan sijil itu.

Menurutnya, myGAP adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) iaitu skim pensijilan dibangunkan Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang yang melaksanakan amalan pertanian baik.

“Mereka yang ada sijil ini mempunyai peluang pasaran luas sekali gus membantu meningkatkan ekonomi diri dan negara.

“Apa yang penting, mereka juga akan memperoleh hasil tanaman berkualiti dan selamat dimakan. Keadaan ini dapat meyakinkan pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program mempromosikan myGAP membabitkan beberapa pengusaha produk pertanian di tapak Pasar Tani Bandar Bera, di sini semalam.

Noor Illyana berkata, peluang untuk petani memohon myGAP sentiasa terbuka dengan melengkapkan dokumen berkaitan serta perlu menjalani pemeriksaan tapak termasuk menghantar hasil pertanian ke makmal bagi pemeriksaan dan ujian keselamatan serta kualiti produk.

Menurutnya, pihaknya akan membantu mereka dengan mengadakan pemeriksaan tapak dan menganalisis hasil bagi menguji kandungan racun makhluk perosak pada hasil tanaman mereka.

“Produk yang dihantar akan diuji kandungan logam berat, kandungan mikrob dan analisis air, selain memberikan kursus dan latihan secara percuma selepas memohon sijil myGAP.

“myGAP mengutamakan konsep keselamatan makanan, pemuliharaan alam sekitar, keselamatan pekerja dan penghasilan makanan yang dijamin bermutu dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Seorang petani, Ismayudin Suib, 50, yang menerima sijil myGAP awal tahun ini memberitahu, hasil pertaniannya semakin mendapat permintaan di pasaran kerana masyarakat sudah mula sedar faedah myGAP.

“Hasil pertanian lebih berkualiti kerana ia bebas baja atau racun yang terlarang, dan hanya bahan berkualiti saja dibenarkan.

“Masih ramai yang kurang ilmu berkaitan myGAP ini, jadi saya minta supaya Pejabat Pertanian Daerah dapat mempromosikan produk ini lebih kerap kepada orang ramai,” katanya.

Bagi seorang pengguna, Rasidah Kartini Ujang, 43, ini adalah kali pertama mendengar istilah myGAP dan tidak memahami secara mendalam berkaitan perkara itu tetapi melihat dari sudut promosi yang dijalankan, dia percaya hasil pertanian yang dijual adalah yang berkualiti.

“Bila lihat pelekat myGAP pada hasil pertanian ini, saya percaya ia bagus, lebih-lebih lagi apabila pihak Pejabat Pertanian Daerah sendiri turun padang mempromosikannya.

“Mungkin, ia perlu dipromosikan secara berterusan supaya pengguna boleh membuat pilihan untuk memilih hasil pertanian yang selamat ketika membeli,” katanya.


0 comments:

share2