Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 1, 2016

[KUANTAN] WARGA EMAS UZUR HIDUP SUSAH


Warga emas uzur hidup susah


Seorang warga emas tidak mampu berjalan apabila kakinya membengkak akibat komplikasi penyakit buah pinggang dihidapinya.

Mek Razimah Husain, 71, yang tinggal sebatang kara dari Kampung Jaya Gading di sini, kini hanya bergantung kepada dua anak jirannya, Sakilah Azhar, 20, dan Samiah Azhar, 17, setelah suaminya, Saad Kadir meninggal dunia kira-kira setahun lalu.

Menurutnya, sejak kematian suami, hidupnya mula berubah apabila terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen suami RM300 sebulan untuk menyara kehidupan.

Katanya, dia tidak mampu bekerja, sebaliknya hanya bergantung kepada pencen arwah suami walaupun kadang-kadang wang itu tidak mencukupi.

“Pernah makcik tak boleh beli gas sebab tak ada duit, nak beli makanan pun tak mampu. Itu belum lagi keperluan lain,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud di rumahnya, di sini semalam.

Mek Razimah berkata, dia kini bergantung kepada Sakilah dan Samiah yang menjaganya pada waktu malam dan membantu membeli keperluannya seperti makanan memandang dia tidak boleh berjalan jauh.

Katanya, dia yang tiada anak berasa amat terharu dengan keprihatinan d anak jiran yang sudi menjaga dan mengambil berat terhadap dirinya.

“Sejak dua tiga bulan ni, makcik tak boleh berjalan jauh. Kalau jalan, dua-dua belah kaki makcik akan bengkak.

“Ini mungkin sebab makcik ada penyakit dan terlalu uzur untuk urus diri tetapi selagi ada kudrat, makcik terpaksa lakukan sendiri,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia berasa terharu apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian pemimpin setempat dan sumbangan dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebannya.

“Sebagai balu dan tidak bekerja, sumbangan ini sedikit sebanyak membantu terutamanya dalam perbelanjaan dapur saya,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata, beliau sedih melihat penderitaan dilalui warga emas itu.

Semasa kunjungannya itu, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan bagi meringankan beban ditanggung Mek Razimah.

Khairuddin berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta melawat Mek Razimah supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan.


0 comments:

share2