Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 28, 2016

[KUANTAN] TANGGUH PROJEK SEHINGGA KAJIAN SIAP


Tangguh projek sehingga kajian siap


Kerajaan negeri menangguhkan sementara Projek Ladang Rakyat dan tambahan Projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) yang dilaksanakan di kawasan Hutan Sungai Gapoi, Pelangai, Bentong.

Penangguhan itu bagi memberi peluang untuk kajian terperinci sama ada projek itu menjejaskan sumber bekalan air atau sebaliknya mengambil kira kebimbangan penduduk terhadap projek tersebut yang dikhuatiri mencemarkan punca air Loji Sungai Gapoi yang membekalkan air untuk penduduk Telemong dan Mancis.

Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob berkata, sekiranya hasil kajian menunjukkan kedua-dua projek itu menjejaskan sumber air, kerajaan negeri bersedia untuk membatalkannya.

Menurutnya, projek Ladang Rakyat seluas 371.6 hektar adalah untuk dimanfaatkan lebih 230 penduduk Mancis, Ulu Semie dan Simpang Pelangai dan tambahan Projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) di Ulu Semie seluas 120 hektar untuk masyarakat Orang Asli.

“Kedua-dua projek yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Risda dan Jabatan Orang Asli (Jakoa) itu untuk faedah rakyat, bagaimanapun berikutan bantahan penduduk setempat terhadap projek itu, kerajaan negeri terbuka untuk menjalankan kajian terlebih dahulu agar kebimbangan mereka reda.

“Kita akui kebimbangan penduduk itu ada asasnya kerana bimbang berlaku pencemaran sumber air dan bukan membantah projek tersebut bagaimanapun bantahan yang disertai pembangkang itu tidak berlandaskan faktor sebenar,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama agensi terlibat di yayasan Pahang di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato Mohd Paiz Kamaruzaman.

Adnan berkata, asalnya projek berkenaan dilaksanakan bagi memajukan kawasan tersebut seterusnya memberikan sumber pendapatan kepada penduduk dengan menanam getah dan kelapa sawit.

“Bagi ladang sedia ada untuk Tanaman Semula Berkelompok (TSB) seluas 400 hektar akan diteruskan seperti biasa cuma pembangunan di kawasan tambahan ditangguhkan untuk kajian,” katanya.

Adnan berkata, pihaknya mengalu-alukan bantahan yang dibuat penduduk terlibat kerana mereka bimbang sekiranya kawasan tadahan air dan loji air di situ terjejas disebabkan kerja-kerja yang dijalankan.

Beliau berkata, projek Ladang Rakyat seluas 371.6 hektar yang dicadangkan pula ditangguhkan sehingga kajian menyeluruh selesai dan kerajaan akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan projek atau tidak.

“Saya tidak menafikan kebimbangan penduduk yang takut kawasan mereka terjejas dan kita mengambil perhatian terhadap isu itu.

“Dalam pada itu, kerajaan turut mengenal pasti terdapat pencerobohan haram di kawasan berkenaan dan kita akan memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 100 penduduk daripada lima kampung di bawah Mukim Pelangai membantah permohonan kegiatan pembalakan di Hutan Sungai Gapoi yang didakwa bakal menjejaskan sumber tadahan air penduduk yang bergantung sepenuhnya di sungai dan loji Sungai Gapoi. 

Penduduk turut meluahkan kebimbangan sekiranya permohonan itu diluluskan dan diteruskan, kawasan tadahan dan sungai berhampiran akan menjadi surut dan lebih kering.


0 comments:

share2