Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 16, 2016

[JENGKA] FELDA TECHNOPLANT TINGKAT RONDAAN


Felda Technoplant tingkat rondaan


Operasi meronda ladang dan menahan pergerakan keluar masuk lori mencurigakan antara langkah-langkah pencegahan yang membantu mengurangkan kadar kecurian kelapa sawit di Wilayah Jengka, sejak kebelakangan ini.

Pengurus Besar Felda Technoplant Sdn Bhd (Wilayah Jengka), Mohd Zulkifli Abdul Ghani berkata, inisiatif itu dilakukan bagi mengatasi risiko kecurian yang telah menjejaskan pendapatan peneroka Felda, khasnya yang di bawah urus tadbir Technoplant.

Menurutnya, selain rondaan, agensi itu turut memasang pagar atau palang besi berkunci di setiap laluan masuk ke ladang.

“Mana-mana palang besi yang mempunyai laluan atau tanah lapang di kiri kanan ladang pula akan dibuat longkang dengan kedalaman tertentu, untuk mengelak lori pencuri kelapa sawit melencong ke sebelah palang,” katanya dalam satu operasi rondaan ladang melibatkan wartawan Sinar Harian.

Tinjauan yang turut disertai Pengurus Felda Technoplant Cawangan Jengka 11, Indil Adha Yaakub itu melawat ladang-ladang di bawah urus tadbir Felda Technoplant sekitar Jengka 11, Jengka 14 dan Jengka 20.

Hasil tinjauan mendapati, banyak palang besi lama telah rosak dan tersadai di kiri kanan jalan masuk, telah digantikan dengan palang yang baharu.

“Banyak kerugian terpaksa ditanggung pihak Technoplant apabila palang besi tersebut dirosakkan. Bagaimanapun, kita dapat lihat langkah itu berjaya menurunkan kadar kecurian dan itu menandakan kejayaan awal di atas usaha-usaha membanteras tadi.

“Diharapkan peneroka sama ada pemilik ladang persendirian atau di bawah urus tadbir Technoplant sentiasa menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan. Peneroka juga disaran membuat rondaan di ladang masing-masing. Lebih-lebih lagi ketika mendekati tarikh potong buah,” katanya.

Dalam tinjauan itu, Sinar Harian turut diterangkan mengenai perbezaan suasana ladang di bawah urus tadbir Felda Technoplant dan persendirian.

Mohd Zulkifli berkata, langkah-langkah pencegahan ini bagi melumpuhkan kegiatan kecurian yang dipercayai didalangi pihak-pihak tertentu.

Menurutnya, pihak Technoplant beberapa kali telah berjaya menemui galah untuk mengait buah kelapa sawit yang masing tergantung pada pokok, malah buah sawit yang disorokkan juga berjaya dijumpai.

“Masakan individu berani mengait dan mencuri setandan dua kalau tidak sebab ada pihak yang menunggu untuk membelinya? Kes curi buah ini kalau tak ada permintaan mesti susah nak dilakukan. Malah ada kes yang kita kesan mencuri gunakan lori. Bukan calang-calang pencuri,” katanya.

Mereka yang ditangkap dalam operasi telah diserahkan ke pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Indil Adha berkata, dalam usaha membanteras habis-habisan jenayah kecurian ini memerlukan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Jika Technoplant sahaja yang bersungguh-sungguh pun tidak jadi. Dalam hal memasang palang contohnya, kalau kita tidak ronda silap-silap palang dirosakkan.

“Bukan senang pasang palang besi sebab ada di antara pemiliknya yang mengusahakan sendiri ladang. Jadi mereka diberikan kunci pendua atau kita sendiri perlu membukanya pada tempoh tertentu,” katanya.

Hal ini tentu sekali meningkatkan kos operasi dan komitmen kakitangan Felda Technoplant sama ada dari segi masa, kos dan tenaga.


0 comments:

share2