Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 16, 2016

[KUANTAN] LEBIH 60,000 DVD, VCD CETAK ROMPAK DIRAMPAS


KPDNKK


Sebanyak 61,747 VCD dan DVD cetak rompak dirampas hasil serbuan di sekitar daerah ini dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, dalam serbuan yang dijalankan di dua banglo serta sembilan premis di tiga pasar raya, pihaknya turut menahan sembilan lelaki yang berumur antara 20-an dan 40-an.

"Operasi bermula pukul 10 pagi dan berakhir petang tadi disertai 35 pegawai penguat kuasa daripada Pasukan Khas, Bahagian Penguatkuasa KPDNKK. Mereka telah menyerbu dua banglo yang dijadikan stor simpanan VCD dan DVD cetak rompak.

"Ia adalah hasil risikan yang dijalankan selama tiga bulan dan semasa serbuan ke atas sebuah stor simpanan itu, kita menjumpai kira-kira 3,600 VCD dan DVD cetak rompak," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, dalam satu lagi serbuan di rumah banglo, pihaknya terpaksa mengambil masa lebih setengah jam sebelum berjaya memecah masuk dan menemui sejumlah 31,000 VCD dan DVD cetak rompak.

Siasatan awal mendapati kedua-dua stor berkenaan yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, terlibat dalam membekalkan VCD dan DVD cetak rompak kepada premis lain di pasar raya di bandar ini.

Berikutan itu, KPDNKK menyerbu sembilan lagi premis dan berjaya merampas lebih 27,000 keping VCD dan DVD cetak rompak selain menyita sebuah kereta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM512,97.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hakcipta 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 atau tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, siasatan turut dilakukan mengikut Peraturan 4(4) (a) Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, Mohd Roslan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi KPDNKK melalui talian hotline 1-800-886-800 atau e-aduan di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my atau mana-mana pejabat kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.


0 comments:

share2