Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 27, 2016

[BERA] LETAK BAWAH SATU JENAMA


Letak bawah satu jenama


Produk berasaskan madu kelulut dari daerah Bera bakal diletakkan di bawah satu jenama bagi menampung keperluan di pasaran sekali gus membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan usahawan.

Pegawai Pertanian Daerah, Noor Illyana Anour berkata, setakat ini terdapat 30 usahawan madu kelulut di seluruh daerah Bera dan setiap usahawan mengusahakan antara 30 hingga 160 buah haif kelulut.

Menurutnya, permintaan madu kelulut yang semakin tinggi di pasaran menyebabkan usaha itu perlu dikaji dengan lebih teliti supaya pelaksanaannya lancar dan menguntungkan semua pihak daripada pelbagai aspek.

“Buat masa ini, hampir semua usahawan kelulut ini menjual madu dan haif di pasaran, dan hanya seorang usahawan dikenal pasti berjaya menghasilkan pelbagai jenis produk daripada projek kelulut ini.

“Jadi, saya berhasrat mengumpulkan semua usahawan ini supaya mereka boleh bergabung di bawah satu jenama yang sekali gus akan dapat memperkenalkan produk madu atau produk lain dari daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek kelulut yang diusahakan seorang pengusaha, Mohd Fadzil Maulud, 61, di sini semalam.

Difahamkan, Mohd Fadzil menghasilkan produk seperti pil herba, sabun dan krim muka serta cenderahati daripada sabun yang diusahakan sejak 2015.

Noor Illyana berkata, pengeluaran madu kelulut bergantung kepada musim dan pengeluaran paling tinggi pada musim pokok-pokok mengeluarkan bunga.

“Selain madu, kita turut fokus produk lain dari propolis dan beebread untuk menjadi bahan asas produk krim muka dan pil herba.

“Saya harap, usahawan lain turut berani mencuba menghasilkan produk-produk ini kerana ia semakin dapat permintaan di pasaran,” katanya.

Menurutnya, Pejabat Pertanian Daerah sedia memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada usahawan berminat.

Beliau berkata, sebagai permulaan, usahawan yang memohon menceburi bidang itu akan menerima bantuan bernilai RM10,000 dalam bentuk 10 buah haif termasuk peralatan seperti pam sedut madu dan pelindung muka serta pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha mereka berjaya.


0 comments:

share2