Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 27, 2016

RAPID KUANTAN LUASKAN LIPUTAN


Rapid Kuantan luaskan liputan


Perkhidmatan bas henti-henti Rapid Kuantan di bandar Kuantan dan kawasan sekitarnya dimantapkan lagi dengan pelancaran laluan baharu, Laluan 402, kelmarin.

Laluan 402 merupakan laluan ke 17 untuk Rapid Kuantan melibatkan penstrukturan semula Laluan 401 yang sedia ada ke Ubai dan dipanjangkan ke Kuala Pahang melalui Cherok Paloh.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Kuantan, Zainurul Hakim Mohamad berkata, melalui penstrukturan itu, Laluan 401, yang mempunyai jarak keseluruhan 48 kilometer akan beroperasi dari Hentian Bandar Kuantan ke Kuala Pahang melalui Tanjung Lumpur serta Pantai Sepat.

Menurutnya, Laluan 402 mempunyai jarak keseluruhan 61 kilometer antara Hentian Bandar Kuantan ke Ubai melalui Kampung Sungai Soi, Tanjung Selangor serta Cherok Paloh.

“Penstrukturan ini dibuat berdasarkan maklum balas dan pandangan pengguna perkhidmatan bas Rapid Kuantan. Kami sentiasa peka terhadap keperluan pengguna pengangkutan awam di sini khususnya penduduk tempatan dan golongan pelajar,” katanya.

Pelancaran laluan itu disempurnakan Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali sempena Program Jalinan Mesra Komuniti di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Pahang di Kuala Pahang di sini, kelmarin.

Zainurul Hakim berkata, penstrukturan perkhidmatan itu juga untuk kemudahan pelancong ke destinasi tersebut.

Katanya, Rapid Kuantan menyediakan empat bas untuk Laluan 401, yang akan beroperasi dengan anggaran kekerapan 30 hingga 40 minit.

“Bagi Laluan 402, tiga buah bas akan disediakan dengan anggaran kekerapan satu jam pada peringkat awal.

“Kekerapan dan bilangan bas akan dipertingkatkan berdasarkan sambutan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan Laluan 401 menyediakan perkhidmatan ke penempatan strategik dan penting seperti Tanjung Lumpur, Yayasan Pahang, Perumahan Pak Mahat, Pusat Tenun Diraja Pahang, Pantai Sepat, Kampung Tanjung Selangor dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) cawangan Pekan.


0 comments:

share2