Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 25, 2016

[KUANTAN] SEMBILAN HARI HILANG TANPA BERITA


Sembilan hari hilang tanpa berita


“Pulanglah Kak Ngah, jangan buat mak sedih. Kalau ada masalah kita selesaikan sama-sama ya nak," demikian rayuan pilu Ropeah Mat Husain, 40, mengharapkan anaknya, Pitri Nor Aziemah Mohd Akbar, 17, yang hilang sejak sembilan hari lalu kembali ke pangkuan keluarga.

Ropeah berkata, anaknya yang mesra dipanggil Kak Ngah itu seorang yang pendiam dan tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

Menurutnya, Pitri yang sudah tidak bersekolah itu juga baru seminggu bekerja sebagai pembantu di dewan makan sebuah sekolah di sini.

"Dia tak ada pun tunjuk sebarang kelakuan pelik sebelum hilang 16 Ogos lalu. Saya hantar dia ke tempat kerja macam biasa jam 5.30 pagi dan jam 4.30 petang saya nak ambil balik rumah. Tapi saya diberitahu dia tak datang kerja hari tu.

“Saya tak percaya sebab saya sendiri yang hantar dia ke dewan makan. Puas saya tanya semua orang termasuk pengawal keselamatan, tapi mereka tak nampak kelibat anak saya hari itu,” katanya yang tinggal di Kampung Seri Damai, di sini.

Tambahnya, anak kedua dari tiga beradik itu dikatakan memakai baju T berwarna kelabu dan berlengan panjang, tudung biru juga seluar jeans coklat pada hari dia hilang.

“Saya berdoa tak ada kejadian buruk berlaku kepada Kak Ngah. Risau sebab dia perempuan.

“Kami pun bukan orang senang yang boleh bayar wang tebusan jika dia diculik," katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini.

Selain membuat laporan polis, Ropeah berkata, dia turut mencuba cara alternatif untuk mengesan Pitri.

“Orang suruh saya jumpa bomoh, saya buat. Tapi tak percaya sebab dia kata anak saya berada di celah batu dan disorokkan seseorang,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik di sini.

Sehubungan itu, Ropeah berharap agar anaknya itu segera ditemukan kerana bimbang perkara buruk berlaku.

Dalam pada itu, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang pada 19 Ogos lalu masih belum ditemui sehingga semalam.

Pegawai khas Pejabat Menteri Besar, Norbaini Abu Bakar berkata, pihaknya menziarahi keluarga Muhammad Amirul Hakim di Kampung Tengah, semalam, bagaimanapun tiada perkembangan positif diterima.

Katanya, ibunya sangat berharap kepulangan Muhammad Amirul Hakim dan orang ramai yang terlihat anaknya boleh menghubungi balai polis berdekatan.

“Kami harap kes orang hilang seperti ini dapat diselesaikan segera dan kerjasama pihak berkuasa dengan orang ramai penting agar ia tidak berulang," katanya.


0 comments:

share2