Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 25, 2016

GERAKAN UMMAH DEKATI AL-QURAN


HUSSAMUDDIN YAACUB


Kempen World #QuranHour adalah inisiatif yang julung kali diadakan melibatkan penyertaan umat Islam di seluruh dunia.

Ia juga satu-satunya kempen kesedaran dalam mengajak seluruh umat Islam mendekatkan diri, memahami, membaca, seterusnya berinteraksi lalu menterjemahkan inti pati al- Quran kepada karakter bagi membentuk akhlak dalam kehidupan.

Berlangsung pada 9 Zulhijjah, jam 8 pagi, alunan bacaan kitab suci al-Quran akan dibaca serentak selama satu jam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Sejauh manakah program yang menekankan Interaksi dengan al-Quran: Cinta dan Syukur ini mampu menggegarkan dunia?

Ikuti penjelasan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, DATUK HUSSAMUDDIN YAACUB mengenai World #QuranHour dalam wawancara bersama wartawan, SALWANI MD ZAIN dan jurufoto, ROSLI TALIB.

Boleh Datuk jelaskan apakah definisi ‘interaksi’ dengan al-Quran?

Apa sahaja program berkaitan al-Quran kita banyak beratkan tentang tadarus (pembacaan) tapi sekarang sudah sampai masanya umat Islam harus memahami al-Quran.

Kita harap masyarakat Islam bila mereka menghampiri al-Quran di samping baca, mereka akan cuba memahami dan mendalami apa isi yang ada dalam al-Quran.

Sekiranya satu atau dua orang atau lebih berhimpun untuk apa-apa majlis mengenai al-Quran, kita beratkan tentang tadabur dan tazakur itu yang kita perkatakan interaksi dengan al-Quran. Setiap al-Quran ada terjemahan, ada indeks, jadi setiap kali kita memegang al-Quran kita boleh lihat, baca, dan rujuk indeksnya untuk mencari sepotong ayat atau surah-surah yang kita kehendaki.

Segala subjek yang kita ingin tahu semua dimuatkan dalam al-Quran.

Bagaimana World #QuranHour ini boleh capai sasaran untuk dilaksana ke peringkat global?

Program ini bukan satu acara, ia bermulanya satu gerakan, satu ajakan, untuk seluruh umat Islam di dunia mula mendekati al-Quran, mula mengaji al-Quran, atau mula membaca, mendekati, berinteraksi, memahami, mendalami dan menggali isi yang ada dalam al-Quran.

Adakah program ini boleh mengubah persepsi kalangan bukan Islam terhadap agama Islam?

Saya rasa secara jangka panjang boleh. Kalau kita tengok zaman nabi dulu kenapa orang bukan Islam tertarik untuk menyertai Islam, kerana mereka melihat akhlak nabi dan akhlak sahabat nabi. Oleh sebab itu, sebagai Muslim, kita harus mengenali dan memahami al-Quran.

Apabila al-Quran dihayati dan mula berada dalam jiwa, nilai-nilai yang ada dalam al-Quran akan melahirkan satu karakter Muslim yang lebih baik daripada sekarang.

Jadi, kita berharap program ini bukan sahaja membaiki orang Islam sendiri, tetapi juga memberi satu rasa selamat dan selesa dalam kalangan bukan Islam.

Bila mereka mula melihat orang Islam sudah mula berdisiplin, bertanggungjawab, memegang pada nilai-nilai yang sepatutnya ada pada sebuah agama, rasa hormat mereka terhadap agama Islam semakin tinggi, sekaligus menepis persepsi tidak benar tentang Islam menyebabkan orang bukan Islam takut dengan masyarakat Islam.

Ini satu gerakan Islam untuk membantu orang Islam kembali kepada basic Islam kerana Islam adalah cara untuk hidup dan cara untuk mati. Jadi itu yang saya rasakan kesannya lebih positif.

Bagaimana maklum balas daripada pelbagai pihak sebagai tanda sokongan terhadap program ini?

Alhamdulillah, masyarakat dan orang ramai sudah mula berkongsi di media sosial dan dalam bentuk verbal. Malah sudah ada yang menggerakkan program ini secara individual dengan membaca al-Quran bersama kumpulan mereka.

Sebenarnya kempen ini bertujuan mengembalikan orang-orang Islam kepada basic Islam. Maknanya, jika kita tengok komputer atau telefon bimbit, peranti ini ada standard sistem operasi masing-masing, kita orang Islam sekarang tidak guna pakai kepada sistem operasi yang sepatutnya digunakan sekarang.

Pemimpin-pemimpin kita pula sibuk berpolitik sahaja. Pembangunan insan langsung tidak menjadi keutamaan. Jadi saya kira sekarang ini waktu terbaik untuk gerakan program seumpama ini bagi memberi kesedaran dan keinsafan.

Memahami isi-isi al-Quran menghayati dan mengamalkan ini seolah-olah merupakan satu pendekatan untuk menggantikan sistem operasi dalam jiwa-jiwa orang Islam. Sistem operasi yang seharusnya orang Islam miliki, iaitu al-Quran.

Program berunsurkan keagamaan biasanya kurang mendapat sambutan. Bagaimana World #QuranHour boleh mengubah persepsi ini?

Selama ini kita selalu beratkan tentang acara. Kadang-kadang majlis pelancaran lebih besar daripada acara itu sendiri.

Ini adalah gerakan ummah, bukan kumpulan tertentu sahaja, kita libatkan semua ummah, jadi siapa yang ada kesedaran dan keinsafan dan siapa merasa dirinya Muslim dan rasa dirinya banyak kekurangan, perlu menyertai program ini.

Lagipun al-Quran itu satu pelengkap untuk setiap permasalahan bagi setiap umat Islam. Selama ini kita tidak gerakkan al-Quran secara bersungguh-sungguh, kita letakkan al-Quran dalam almari, atas rak dan rehal sahaja.

Sekarang program ini digerakkan dalam kumpulan yang besar dengan meletakkan isi kandungan al-Quran sebagai keutamaan dalam jiwa. Saya yakin ia akan jadi pendekatan yang berjaya dalam mengubah persepsi ramai.

Apakah harapan Datuk dengan program ini?

World #QuranHour diharap akan menjadi satu kempen kesedaran besar-besaran melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Jika umat Islam di seluruh dunia sudah mula memahami al-Quran, boleh baca, dan amalkan al-Quran, kita akan lihat perubahan yang besar dalam dunia Islam.

Orang Islam akan membawa nilai yang sebetulnya sebagaimana yang diajar oleh nabi kita. Islam akan kembali gemilang dan dihormati.

Mulai tahun depan, lebih banyak negara akan terlibat begitu juga dengan media.

Saya harap, semua umat Islam, menyokong dan bergabung, datanglah ke UIAM sama-sama gemakan ayat suci al-Quran, bertadabur, memahami dan cuba memasukkan al-Quran ke dalam jiwa.

Saya juga menyeru semua pemimpin negara, politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat, institusi dan lain-lain ketepikan soal perbezaan fahaman untuk satu jam, datanglah. Bersatu kerana al-Quran.


0 comments:

share2