Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 25, 2016

[TEMERLOH] IKLAN AH LONG MASUK KAMPUNG


Iklan ah long masuk kampung


Penduduk di beberapa kawasan kampung di sini, mula resah dengan tindakan segelintir ceti haram atau ah long yang mengedar iklan perniagaan mereka sehingga ke serata kampung.

Tindakan itu menyebabkan ada warga emas yang tinggal sendirian berasa takut untuk keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Penduduk Kampung Gantok, Rusdan Ramli, 39, berkata, tindakan ah long yang mengedar iklan nombor telefon perniagaan mereka menyebabkan ibunya yang tinggal seorang diri mula berasa takut untuk keluar rumah menjalankan aktiviti harian.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini ah long mula mengedar iklan pinjaman wang bukan sahaja dalam bandar tetapi ke serata kampung.

Rusdan berkata, mereka mengupah beberapa orang dengan menaiki motosikal untuk mengedar iklan perniagaan mereka dengan cara menampal iklan di dalam kampung dan turut melempar kad bisnes sehingga ke pekarangan rumah.

“Kita tahu mereka berniaga, tapi buatlah di tempat lain sebab kita tak mahu orang kampung takut dengan tindakan mereka masuk kampung.

“Sejak kebelakangan ni, saya tengok banyak kawasan kampung dipenuhi iklan ah long yang ditampal di pokok, tiang lampu dan simpang utama dalam kampung,” katanya.

Menurutnya, antara kampung yang menjadi sasaran iklan ah long sejak minggu lalu ialah Kampung Gantok, Songsang dan Padang Lalang.

Sementara itu tinjauan di beberapa lokasi mendapati iklan ah long turut ditampal di beberapa kawasan kampung tradisional di sekitar Seberang Temerloh sehingga menyebabkan penduduk kampung tidak selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Parit, Fadhli Dzulkarnain berkata, sejak dua bulan lalu beberapa kawasan khususnya di tepi jalan utama dipenuhi iklan ah long.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan rasa kurang selesa penduduk kampung dan dikhuatiri ada yang terpengaruh dengan iklan ditawarkan.

“Ini akhirnya akan merosakkan orang kampung dengan beban pinjaman dan syarat yang ditetapkan ah long. Kita harap pihak berkuasa mengambil serius aduan penduduk ini,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas pihak berkuasa berkaitan isu ah long ini pada masa terdekat.


0 comments:

share2