Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 29, 2016

[MARAN] HARAP ABANG PULANG SIHAT, SELAMAT


Harap abang pulang sihat, selamat


Keluarga Mohd Ridzuan Ismail, 32, yang menjadi mangsa culik di perairan Sabah, 18 Julai lalu terus mengharapkan kepulangannya dalam keadaan sihat dan selamat secepat mungkin.

Adiknya, Mohd Raisuddin, 30, berkata, setelah semua ikhtiar dilakukan, keluarga di Jengka 7 di sini hanya mampu berdoa, membaca Yasin dan melakukan solat hajat memohon keselamatan abangnya.

“Saya berterima kasih kepada penduduk yang sudi bersama kami mengadakan majlis dan berdoa untuk abang. Sejak abang dilaporkan hilang, penduduk tak henti-henti berikan sokongan.

“Semalam kami adakan bacaan Yasin dan sebelum ini kariah masjid pun ada buat majlis solat hajat. Saya amat terharu dan hargainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin anjuran Gerakan Pergerakan Wanita (GPW) Jengka 7, di rumahnya, kelmarin.

Mohd Raisuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Krau yang memberikan sokongan moral kepada keluarganya pada sambutan Aidilfitri di Jengka itu, minggu lalu.

Menurutnya, dia merupakan anak kedua dari tujuh beradik dan Mohd Ridzuan merupakan anak sulung.

Bapa mereka meninggal dunia pada 2001 manakala ibu pada 2013.

Pada 18 Julai lalu negara dikejutkan dengan berita penculikan lima kru bot tunda di perairan Dent Heaven Tambisan, Sabah.

Mereka dikenali Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.


0 comments:

share2