Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 30, 2016

[TEMERLOH] PAYA TERBIAR JADI LOKASI TANAM JAGUNG


Paya terbiar jadi lokasi tanam jagung


Temerloh akan menjadi daerah kedua pengeluar jagung bijirin untuk makanan ternakan apabila projek perintis untuk tujuan itu akan dimulakan di kawasan paya terbiar seluas 150 hektar bermula tahun ini.

Pegawai Pertanian Temerloh, Muhamad Khalil Idris berkata, sebagai permulaan tanaman jagung bijirin itu akan ditanam di atas tanah hak milik penduduk di kawasan paya terbiar di Kampung Paya Kujan.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti pemilik tanah terbiar itu melibatkan penduduk Kampung Buntut Pulau, Pangsenam dan Bukit Kelulut.

“Kita akan melaksanakan ia secara berperingkat pada tahun ini dan tahun hadapan dengan kos awal untuk tahun ini sekitar RM123,000,” katanya pada program Taklimat Jagung Bijirin Temerloh di Pejabat Pertanian Temerloh yang dihadiri lebih 20 pemilik tanah terdiri daripada majoriti belia.

Muhamad Khalil berkata, jagung bijirin yang ditanam adalah salah satu usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengurangkan import bahan asas dalam industri pembuatan makanan ternakan.

Beliau berkata, Temerloh menjadi daerah kedua selepas Kemaman di negara ini yang akan terlibat secara aktif dalam penghasilan jagung bijirin ini.

Menurutnya, sekiranya berjaya, tanaman jagung bijirin ini mampu memberikan tambahan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan bagi setiap hektar.

“Pihak pembekal benih juga menjangkakan pengeluaran hasil sekitar 10 tan bagi setiap hektar.

“Gerak kerja bagi projek tanaman jagung bijirin ini giat dimulakan dengan penyediaan kawasan di kawasan paya terbiar yang telah dikenal pasti,” katanya.

Muhamad Khalil berkata, sehingga kini Indonesia dan Filipina menjadi dua negara jiran yang menjadi pengeluar terbesar jagung bijirin iaitu 9.6 juta metrik tan dan 7.8 metrik tan pada 2015.

Beliau berkata, Malaysia berpotensi untuk maju dalam tanaman jagung bijirin kerana tanah dan iklim yang sesuai selain ia mudah diurus, tempoh tanaman jangka masa pendek dan pasaran yang stabil.


0 comments:

share2