Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 29, 2016

[KUANTAN] LYNAS DIJAMIN SELAMAT SELEPAS 3 TAHUN OPERASI


Lynas dijamin selamat selepas 3 tahun operasi


Kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd dijamin selamat selepas tiga tahun beroperasi sepenuhnya, sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa operasi kilang itu membawa kesan negatif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini dibuktikan dengan hasil pemantauan mendapati tiada peningkatan bacaan radiasi dalam lingkungan 1 hingga 20 kilometer (km) dari kilang Lynas.

Menurutnya, jumlah pelaburan projek berjumlah RM2.8 bilion dengan pengeksportan keseluruhan produk dikeluarkan.

“Saya difahamkan Lynas sedang menjalankan ujian lapangan terhadap produk, perapi tanah yang dihasilkan daripada ‘Water Leach Purification Residue’ yang akan dilengkapkan pada Julai 2017.

“Sebelum ini banyak dakwaan mengatakan pelbagai kesan akan dihadapi warga Kuantan dan alam sekitar sebaik kilang memproses nadir bumi itu beroperasi,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuantan, semalam.

Mustapa berkata, pihaknya turut mencadangkan agar Lynas mengadakan forum terbuka bersama warga Kuantan dan pihak yang membantah kewujudan kilang sehingga menimbulkan kontroversi pada tahun 2011 dan 2012.

Beliau berkata, dalam forum itu, Lynas boleh membuat pameran dan penerangan secara umum agar dapat menghilangkan kebimbangan penduduk yang ditakutkan dengan kewujudan kilang itu sebelum ini.

Dalam sesi lawatan kerja itu, Mustapa turut melawat Malaysia–China Kuantan Industrial Park (MCKIP) di Gebeng selain melawat projek pembangunan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan yang membabitkan kos RM4.1 bilion.

Di samping itu, beliau turut meninjau Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat Bumiputera yang menghasilkan peralatan untuk industri minyak dan gas.

Sementara itu, Mustapa turut berbangga dengan perkembangan Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals melalui kerjasama syarikat kimia terbesar di dunia iaitu BASF dari Jerman dan Petronas Chemicals Group (PCG).

“Usaha sama ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap ekosistem pelaburan di Malaysia serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.


0 comments:

share2