Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 20, 2016

[BERA] PENDUDUK BANTAH BANK DITUTUP

Image result for cawangan bank bandar bera





Penduduk di sini membantah penamatan operasi sebuah bank di Kerayong dan Triang yang bermula Ogos depan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ketua-ketua Kampung Daerah Bera, Muhammad Amin Sardi berkata, pengumuman itu memeranjatkan pelanggan bank terbabit kerana mulai awal bulan depan, urusan bank akan terganggu dan mereka betasa terbeban.

Menurutnya, penutupan cawangan bank itu difahamkan atas arahan pihak atasan namun yang menjadi persoalannya kenapa kedua-duanya cawangannya perlu ditutup.

“Tindakan ini akan menyusahkan pengguna kerana kebanyakan persatuan atau pertubuhan membuka akaun di bank ini, dan saya percaya semua urusan akan menjadi lebih sukar nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seberang Guai, Safiei Yahya berkata, selepas ini pengguna yang perlu berurusan dengan bank itu terpaksa mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk ke Mentakab.

Menurutnya, semua pelanggan akan bertumpu di cawangan Mentakab dan sudah pasti urusan mengambil masa yang lama memandangkan operasi cawangan di Temerloh juga sudah lama ditamatkan.

“Pihak bank perlu peka keselesaan pelanggan di sini dan kakitangan pula perlu lebih mesra pelanggan supaya ramai lagi yang gunakan perkhidmatan mereka.

“Kalau semua urusan perlu ke cawangan di Mentakab, saya rasa akan lebih ramai yang berhenti berurusan dengan bank ini dan beralih kepada bank lain,” katanya.

Bagi Ketua Umno Cawangan Taman Seri Bera, Adnan Baharuddin berkata, pihak bank sepatutnya mengambil kira kepentingan masyarakat dan bukan melihat kepada keuntungan semata-mata.

Menurutnya, mereka tidak sepatutnya menyusahkan pelanggan setia bank berkenaan.

“Kalau boleh, kekalkan cawangan di Kerayong supaya pelanggan mudah berurusan terutama mereka yang dah berumur dan tiada kenderaan sendiri untuk ke cawangan lain,” katanya.

Berdasarkan notis pemberitahuan yang ditampal di setiap cawangan bank terbabit, semua urusan akan dipindahkan ke bank cawangan Mentakab, sementara terminal layan diri akan ditempatkan di stesen petrol di sekitar Kerayong.




0 comments:

share2