Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

15 PENIAGA DIKOMPAUN RM75,000


15 peniaga dikompaun RM75,000


Kuala Terengganu – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Terengganu mengeluarkan kompaun berjumlah RM75,000 terhadap 15 peniaga yang dikesan gagal mengeluarkan invois bercukai kepada pelanggan.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Hamzah Sundang berkata, 15 kompaun yang dikeluarkan itu hasil tindakan susulan terhadap sembilan aduan yang dikemukakan orang awam sepanjang tempoh tahun ini bermula Januari hingga Jun.

“Kesemua 15 peniaga yang dikenakan kompaun adalah mereka yang telah mendaftar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan pihak Kastam dan terlibat dalam perniagaan peruncitan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah

Pemenang Peraduan Jom Minta Resit GST di Dewan Mayang Bestari, Wisma Kastam Terengganu, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, pihaknya berpuas hati dengan jumlah peniaga yang mendaftar GST serta jumlah aduan yang diterima mengenai GST di negeri ini sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015.

“Dalam tempoh hampir enam bulan tahun ini, kita lihat aduan mengenai GST di negeri ini agak kurang dan ia menggambarkan keberkesanan kaedah dan pelaksanaan dan kerjasama yang diberikan peniaga.

“Dalam hal ini, kita amat mengharapkan kerjasama diberikan masyarakat dan pengguna dengan meminta peniaga mengemukakan resit perniagaan agar kita dapat mengesan mana-mana peniaga yang culas dan tidak mematuhi GST,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 7,000 peniaga telah mendaftar GST dan ia adalah perkembangan yang baik berbanding hanya 4000 sahaja yang mendaftar sebelum ini.

“Ini adalah hasil usaha berterusan daripada pihak Kastam dan agensi lain dalam usaha memujuk, memberi khidmat nasihat kepada peniaga agar dengan sukarela mendaftar GST bagi perniagaan mereka.

“Tambahan pulan, di Terengganu, aduan mengenai GST tidak begitu banyak dan ia menggambarkan tahap pematuhan masyarakat di negeri ini memuaskan termasuk dari segi aduan,” katanya.

Terdahulu, Hamzah turut menyampaikan hadiah kepada seramai 83 daripada 2,876 pemenang bagi Peraduan Jom Minta Resit GST yang dianjurkan JKDM.

Antara pemenang ialah Lee Keng Sin yang memenangi hadiah Samsung Galaxy Tablet A, Nur Farahun Md Zulkiflee (TV LED 40’), Norhashimah Ab Rahman (peti ais)dan Noorliza Sauji (mesin basuh).

Sementara itu, Mohd Faizul Omar dan Ong Ham Chu memenangi hadiah ketuhar gelombang mikro sementara Mohd Salim Razali memenangi hadiah pembakar (oven) dan seramai enam orang memenangi mesin pengadun, vacum (2), periuk nasi (9) blender (8), seterika steam (13) dan 38 memenangi hadiah berupa baucar tunai.


0 comments:

share2