Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 26, 2016

BUAH PINGGANG ROSAK: UBATAN BERLEBIHAN & BERACUN?


Buah pinggang rosak: Ubatan berlebihan & beracun?


Dengar-dengar apabila penghidap penyakit kronik misalnya diabetes mengalami kegagalan buah pinggang, sebahagian doktor percaya ia berpunca daripada pengambilan herba semata-mata kerana pesakit didapati mengambilnya selama bertahun-tahun.

Sebaliknya, apabila penghidap penyakit kronik mengalami kegagalan buah pinggang mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsi secara jangka panjang tidak pula dikatakan berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Pada pandangan penulis ini ialah contoh penilaian dwistandard.

Memang benar ubatan herba, makanan tambahan dan produk semula jadi berpotensi bersifat nefrotoksik (bersifat toksik kepada nefron. Nefron ialah unit berfungsi buah pinggang terlibat dalam penapisan darah).

Namun, pada pandangan penulis walau pun tiada statistik khusus, bilangan penghidap kerosakan/kegagalan buah pinggang berpunca daripada pengambil ubatan moden termasuk polifarmasi (mengambil lima jenis ubatan moden atau lebih) dan ubatan nefrotoksik berkemungkinan besar jauh lebih ramai berbanding dengan bilangan golongan yang mengambil ubat-ubatan herba.

Polifarmasi dikatakan menyebabkan peningkatan risiko tindak-balas kesan sampingan buruk, interaksi ubatanubatan dan interaksi ubatan-penyakit (drug-drug and drug-disease interaction).

Mereka yang mengalami beberapa jenis penyakit dan mengamalkan polifarmasi dikatakan berisiko tinggi mengalami simptom lebih buruk, pelbagai simptom baru atau penyakit baru jika mereka mengambil ubat-ubatan tambahan (jenis dan bilangan ubatan bertambah).

Ambil perhatian

Polifarmasi dikatakan merupakan faktor risiko berlakunya kematian, penyakit dan kesan sampingan buruk kerana interaksi ubat-ubatan meningkatkan potensi ketoksikan ubatan terutama pada golongan tua.

Sila semak kajian berjudul Polypharmacy:

A risk factor for geriatric syndrome, morbidity and mortality yang terbit dalam jurnal Aging Science (2013).

Antara kesan sampingan buruk atau penyakit dikaitkan dengan polifarmasi ialah kegagalan buah pinggang akut. Saintis penyelidik kajian berjudul A population based study on the association between acute renal failure (ARF) and the duration of polypharmacy diterbitkan jurnal BMC Nephrology (2012) mendapati kaitan signifikan antara tempoh polifarmasi pada 31-90, 91-180 dan melebihi 181 hari dan pembentukan kesan sampingan buruk.

Kajian oleh saintis tempatan berjudul Impact of Polypharmacy on Deglutition in Patients with Coronary and Cardiac Diseases harus mendapat perhatian golongan perubatan moden.

Kajian tersebut mendapati polifarmasi menimbulkan penyakit baru iaitu dysphagia (simptom: sukar menelan, sakit dada, batuk, tidak hadam, pedih ulu hati dan refluks). Sebuah kajian tempatan lain berjudul Predictors of polypharmacy and adverse drug reactions among geriatric in patients at Malaysian hospital terbit dalam jurnal Healthmed (2010) juga harus dimanfaatkan oleh golongan sama. Artikel berjudul The Dangers of ‘Polypharmacy,’ the Ever-Mounting Pile of Pills yang boleh dibaca di laman sawang New York Times atas talian memaparkan pendapat beberapa orang doktor mengenai bahaya polifarmasi.

Pelbagai jenis ubatan moden sebenarnya boleh memberi kesan sampingan buruk di mana sesetengahnya disenaraikan pada nota kecil yang dikepilkan bersama setiap bungkusan ubatan.

Sesetengah kesan sampingan pula hanya diketahui oleh pesakit apabila mengalami gejala tertentu selepas mengambilnya.

Dalam risalah Aduan Pengguna Terhadap Kesan Sampingan Ubat di Portal Rasmi Kementerian Kesihatan terdapat kenyataan bahawa walaupun ubat-ubatan telah dikaji dalam percubaan klinikal sebelum ia didaftarkan, sesetengah kesan sampingan seperti yang jarang berlaku atau berlaku berikutan penggunaan jangka masa yang panjang hanya boleh dikesan selepas ubat-ubatan tersebut digunakan oleh populasi yang lebih besar.

Pada bahagian awal risalah Kementerian Kesihatan tersebut dinyatakan di samping kesan sampingan ringan, kesan sampingan yang lebih serius seperti kerosakan hati dan kegagalan jantung juga boleh terjadi.

Kesan sampingan boleh berlaku dalam tempoh masa yang singkat selepas pengambilan ubat-ubatan atau selepas penggunaan untuk jangka masa yang panjang.

Laporan pengguna penting

Sebab itulah pengguna di negara kita boleh mengadu kesan sampingan buruk yang dialami akibat pengambilan ubatan tertentu ke Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan yang bertempat di Bahagian Pemantauan Farmasiutikal Kebangsaan (BPFK).

Ketahuilah bahawa penghidap diabetes, sedang mengalami penyakit kronik, golongan tua berumur melebihi 60 tahun terutama wanita, mengalami kemerosotan tisu otot (protein wasting), penapisan buah pinggang tidak cekap atau polifarmasi dikatakan berisiko mengalami kerosakan buah pinggang jika mereka mengambil ubatubatan nefrotoksik.

Untuk mengetahui faktor-faktor risiko secara keseluruhan sila semak kajian berbentuk semakan berjudul Drug-induced Toxicity yang terbit dalam International Journal of Basic & Clinical Pharmacology (2014) dalam Table 1. Risk factors that increase renal vulnerability to nephrotoxins.

Artikel tulisan Cynthia A. Naughton, PharmD berjudul Drug-Induced Nephrotoxicity (American Family Physician, 2008) menyenaraikan kelas dan jenis ubatan nefrotoksik. Dr Naughton membincangkan beberapa mekanisme melibatkan penggunaan ubatan moden dalam merosakkan nefron serta senarai penuh ubatan bagi setiap kelas yang terbabit dengan kerosakan di laman web http://www.aafp.org/afp/2008/0915/p743. html.

Mekanisme yang dibincangkan termasuk altered intraglomerular hemodynamics (akibat ubatan mengganggu pengawalan tekanan otomatik glomerulus serta mengurangkan kadar penapisan), tubular cell toxicity (akibat ubatan bertoksik), keradangan (ubatan menyebabkan keradangan glomerulus dan interstitium lalu menyebabkan fibrosis), crystal nephropathy (ubatan membentuk kristal tak larut air menyebabkan nefron tersumbat), rhabdomuolysis (myoglobin hasil penguraian sel otot akibat ubatan tertentu merosakkan nefron) dan thrombotic microangiopathy (berpunca dari penyumbatan plaletet akibat pengambilan ubatan antiplatelet atau quinine).

Penulis bawakan contoh ubat-ubatan yang biasa dipreskripsi untuk merawat tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi sebenarnya bersifat nefrotoksik seperti tersenarai dalam artikel berbentuk semakan berjudul Drug-induced Toxicity yang disebutkan di atas.

Ubat-ubatan yang dimaksudkan berserta mekanism penyebab ketoksikan nefron ialah ubatan kardiovaskular:

Angiotensin Converting Enzyme Inhibitors (singkatan: ACE Inhibitors), angiotensin receptor blockers (ARBs) menyebabkan altered intraglomerular hemodynamics; clopidogrel, ticlopidine menyebabkan thrombotic microangiopathy; dan pelbagai statin menyebabkan rhabdomyolysis.

Diuretik untuk mengawal tekanan darah: loop, thiazide menyebabkan acute interstitial nephritis dan triamterene menyebabkan crystal nephropathy. Apa pandangan anda?


0 comments:

share2