Paras air sungai Tembeling yang semakin cetek akibat cuaca panas menyebabkan laluan air ke Hulu Tembeling bertambah sukar selain turut merosakkan kipas dan enjin bot kerana terlanggar batu di dasar sungai cetek.
Bagi mengatasi masalah itu, kira-kira 50 penduduk tempatan bergotong-royong mengalih batu dan kayu yang menghalang laluan bot pelancong dan penambang di tujuh jeram antara Kampung Pagi menghilir ke Kuala Tahan, minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pagi, Abd Jamil Mat Yasin, berkata, gotong-royong itu bertujuan memulihkan alur Sungai Tembeling yang cetek khusus di kawasan jeram bagi membuka laluan bot terutama antara Kampung Pagi ke Kuala Tahan.
Menurutnya, gotong-royong itu dianjurkan pihak JKKK Kampung Pagi bermula pada jam 8 pagi dan selesai kira-kira 5.30 petang di kawasan Jeram Aur, Dedari, Panjang, Abai, Nusa, Teresek dan Jeram Pengau.
“Kerja membersih dan mengalihkan batu bagi mendalamkan paras sungai terutama di kawasan jeram dibuat bagi memudahkan aktiviti pelancong yang gemar meredah sungai ke kawasan jeram.
“Lagi pun Sungai Tembeling adalah laluan utama penduduk berulang alik antara dua tempat ini dan di kawasan hulu.
"Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kami membuang objek seperti batang balak yang hanyut dan mengalih batu untuk laluan bot,” katanya.
Katanya, lebih mengujakan apabila gotong-royong terbabit menarik ramai golongan muda untuk turut serta membersihkan laluan sungai tersebut.
Dalam pada itu, ahli JKKK Pagi, Shah Radin Abdul Karim berkata, sejak paras sungai cetek, pemilik bot mengalami kerugian kerana kenderaan mereka rosak terutamanya pada bahagian kipas dan enjin.
“Mereka rugi antara RM8,000 hingga RM16,000, malah ada bot tidak boleh dibaiki dan perlu diganti baru,” katanya.
0 comments:
Post a Comment