KULIM - "SAYA terkenang salam terakhir arwah anak sebelum pergi ke Vietnam".
Demikian luahan sayu Rohani Ismail, 59 ibu kepada rakyat Malaysia Mohd Azhar Abdull Wahab,33, yang ditemui mati dibunuh hotel di Ho Chi Minh,Vietnam Jumaat lalu. Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu sempat mencium tangannya dan mohon maaf ketika ingin melancong ke Vietnam bersama rakannya Mohamad Zulfaeez Khalid, 31. "Walaupun sukar untuk mempercayai kejadian itu, namun saya reda dengan kehendakNYA, dan berharap urusan pengkebumian jenazah dapat berjalan dengan lancar.
"Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen dan sesiapa yang membantu membawa pulang jenazah anak ke sini," katanya kepada Sinar Harian.
Malah katanya, kes pembunuhan anaknya itu juga diserahkan kepada polis untuk menyiasat dan menyelesaikannya segera.
"Saya tak ada nak cakap apa lagi, saya serahkan kes ini kepada pihak polis sepenuhnya," katanya.
Selain itu, bapa mangsa Abdull Wahab Yusof,59 berkata agak terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan arwah anaknya buat kali terakhir ketika hayatnya masih ada.
"Setelah saya berpindah ke Jitra saya dan arwah jarang lagi bertemu dan berhubung. Bila dapat tahu kejadian seperti ini saya agak terkilan kerana tak dapat lihat dia dan hanya melihat jenazahnya saja,"katanya.
Katanya, dia amat terkenangkan kenangan ketika mendidik arwah ketika remaja dan pernah menampar kerana menyimpan rambut panjang diwarnakan merah.
"Saya terkenang ketika zaman arwah remaja saya sering menasihatnya supaya jadi orang berguna dan sentiasa kemas walaupun mahu menceburkan diri dalam bidang muzik.
"Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Apa yang penting semoga segala urusan pengkebumian jenazah berjalan lancar,"katanya.
Dalam pada jenazah arwah Mohd Azhar telah selamat tiba ke pekarangan Masjid Air Merah, Kulim kira-kira jam10.45 malam dan disambut hampir 200 saudara-mara dan jiran tetangga.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Merah tepat jam 11 malam dengan diiringi hujan.
0 comments:
Post a Comment