Kuching - Faktor cuaca dijangka akan melewatkan pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, jangkaan awal keputusan penuh sebelum 11 malam mungkin berubah berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Susulan nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Sebuyau, kira-kira 250km dari sini kelmarin, katanya, SPR menggunakan moto 'biar lambat asalkan selamat' dalam membawa pulang peti undi dari pusat pengundian ke pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh negeri itu.
"Harap rakyat faham," katanya kepada media selepas melawat Pusat Semakan Peti Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang di Dewan Masyarakat Kuching, di sini semalam.
Selain kenderaan, beliau berkata SPR akan menggunakan 38 buah helikopter, 663 perahu dan 64 bot laju.
Katanya khidmat helikopter itu akan digunakan oleh lapan pasukan bergerak dengan setiap pasukan terdiri daripada ketua tempat undi dan tiga kerani pengundian untuk membawa peralatan pengundian dari satu pusat ke pusat pengundian lain.
Katanya, atas faktor jumlah pengundi dan lokasi pengundian, beberapa pusat pengundian berkongsi pasukan bergerak dan peti undi yang sama seperti Rumah TK Barang Lugun dan Sekolah Kebangsaan Bario di DUN Mulu.
Menurut Jabatan Meteorologi Sarawak, cuaca mendung dan hujan diramal berlaku pagi esok di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk di bahagian Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang.
Pada sebelah petang pula, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di satu dua tempat di semua kawasan.
0 comments:
Post a Comment