Pasir Gudang - Bekalan air berjadual di kawasan agihan empat loji rawatan air (LRA) di daerah Mersing dan Kota Tinggi yang sepatutnya berakhir 15 Mei ini, akan dilanjutkan sekiranya terus mencatat penyusutan paras air.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata, bekalan air berjadual di Mersing telah dijalankan sejak 20 April lalu selepas LRA Sungai Mersing dan LRA Tenglu terpaksa mengurangkan pengeluaran air akibat penyusutan Sungai Mersing dan Empangan Congok, membabitkan 37,280 penduduk.
Menurutnya, bekalan air berjadual di Kota tinggi dilaksanakan di kawasan agihan LRA Sungai Gembut dan LRA Lok Heng sejak 18 April lalu membabitkan kira-kira 44,225 penduduk.
“Sekiranya cuaca panas dan kering berterusan tanpa hujan sehingga menambahkan penyusutan paras air, kita terpaksa melanjutkan bekalan air berjadual di kedua-dua daerah yang sepatutnya berakhir 15 Mei ini.
“Apa yang kita harapkan, cuaca akan baik untuk tamatkan bekalan air berjadual ini dan semua pengguna diharap berhemah menggunakan air supaya dapat melanjutkan penggunaan air ke satu tarikh lebih panjang,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Johor bagi meninjau status bekalan air semasa, semalam.
Mohd Ridhuan berkata, beberapa LRA di Perlis, Pahang, Kedah dan Perak mencatatkan trend penurunan, yang mana LRA Chini di Pekan Pahang direkodkan paling kritikal sehingga tujuh lori dihantar setiap hari untuk bantuan air kepada penduduk.
Menurutnya, Empangan Sungai Layang di Pasir Gudang turut mencatatkan paras kritikal 19.55 meter yang mana akan turut dilaksanakan bekalan air berjadual sekiranya terus mencatatkan penyusutan kepada 19.00 meter.
0 comments:
Post a Comment