Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 27, 2016

TIADA AMALAN KHURAFAT DI MAKAM ALMARHUM TEJA


Tiada amalan khurafat di Makam Almarhum Teja


Gopeng -Tiada sebarang amalan khurafat atau pemujaan dikesan dilakukan di kawasan Makam Almarhum Teja.

Ketua Kampung Kota Bharu, Syed Ahmad Murad Syed Adam berkata, perkara itu tidak berlaku mungkin disebabkan kedudukan makam yang agak terbuka dan berdekatan dengan penempatan penduduk.

“Alhamdulillah, setakat ini tak pernah pun berlaku sebarang bentuk pemujaan sebaliknya kebanyakan yang datang mengadakan bacaan tahlil di makam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang bentuk amalan khurafat tidak berlaku di kawasan makam tersebut.

“Walaupun tak pernah berlaku, tiada sebab untuk kami pandang ringan perkara tersebut dan kami akan terus pastikan pemantauan dilakukan,” katanya ketika ditemui sempena Program Membersihkan Makam Almarhum Teja, di sini.

Sementara itu, Syed Ahmad Murad berkata, sebuah bangsal dan tandas awam sedang dibina berdekatan makam tersebut dan dijangka siap sepenuhnya awal Mei ini.

Menurutnya, prasarana yang sedang dalam proses pembinaan sejak seminggu lalu itu bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang datang menziarahi makam berkenaan.

“Saya dimaklumkan pembinaan tersebut di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mendapat perkenan istana,” katanya.

Beliau berkata, aspek kebersihan di makam berkenaan amat dititikberatkan Raja Puan Besar Perak, Raja Mahani Raja Shahar selain dibantu penduduk setempat.

“Adakalanya Raja Puan Besar akan hantar orang istana untuk membersihkan bahagian dalam makam manakala kami pula akan mengadakan gotong-royong setahun dua kali membersihkan kawasan luar makam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Bencana Malaysia (PGBM), Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Program Membersihkan Makam Almarhum Teja bertujuan mengenal pasti susur galur sejarah berkaitan pemimpin lampau.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan itu juga bagi merapatkan silaturahim antara ahli PGBM dengan penduduk tempatan.


0 comments:

share2