
Umat Islam yang menetap di kawasan yang tidak menerima hujan dalam tempoh satu hingga dua minggu akibat kemarau disaran mengerjakan solat Istisqa’.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, masjid dan surau juga digalakkan berbuat demikian agar ALLAH SWT mengurniakan hujan dan nikmat rezeki kepada umat-Nya.
Menurutnya, umat Islam perlu memperbanyakkan doa dan istighfar memohon keampunan kerana musim kemarau adalah ujian serta peringatan daripada ALLAH SWT.
“Cuaca sekarang tidak menentu dan Alhamdulillah sejak kebelakangan ini sudah ada hujan.
“Namun masih ada kawasan yang terjejas akibat kemarau sehingga sungai menjadi cetek dan memberi kesan kepada mereka yang mencari rezeki dari sumber sungai.
“Solat Hajat juga boleh dilakukan agar situasi ini tidak berpanjangan dengan perbanyakkan ibadah dan menjauhi segala kemungkaran,” katanya ketika ditemui pada kuliah Zohor dan majlis ukhuwah di Masjid Tepian Putra, semalam.
Kuliah disampaikan Rektor Universiti Ahqaf Hadramaut, Profesor Dr Abdullah Baharun.
Hadir sama, Exco Dakwah Islamiyyah dan Tugas-Tugas Khas Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Abdul Rahman berkata, tiada arahan khusus kepada masjid dan surau di negeri ini untuk melakukan solat Istisqa’ namun digalakkan atas inisiatif sendiri agar cuaca panas akibat El-Nino bertambah baik.
Menurutnya, penduduk yang terjejas dinasihati bersabar dan tabah menghadapi ujian selain mengutamakan kesihatan diri dan keluarga.

0 comments:
Post a Comment