Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 22, 2016

SUARA RAJAWALI PALING MERDU


Suara Rajawali paling merdu


Johor Bahru - Baru sahaja berkecimpung dalam minat memelihara burung merbok, namun sudah 31 kali memenangi pelbagai pertandingan disertainya.

Terkini, Mohlis Sudir, 42, dari Jalan Puchong, Kuala Lumpur bersama burung merboknya yang diberi nama ‘Rajawali’ berjaya memenangi Pertandingan Seni Suara Burung Merbok Permas Jaya, di sini, kelmarin.

Kejayaan itu melayakkan Mohlis yang bekerja sebagai tukang kayu membawa pulang piala dan wang tunai RM300.

Perasmian pertandingan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohlis, dia mempunyai empat burung merbok dan sering menyertai pelbagai pertandingan, malah sanggup menjelajah ke seluruh negara demi memenuhi minatnya.

“Sebenarnya tidak sampai dua tahun saya membela burung merbok ini. Ia bermula daripada melihat hobi rakan-rakan, tetapi lama-kelamaan saya sudah jatuh cinta.

“Semua burung merbok saya pernah memenangi pelbagai pertandingan dan ini menguatkan semangat saya walaupun terpaksa berhabis wang membelinya dari Thailand.

“Tiap kali pulang kerja saya luang masa bersama burung peliharaan kerana telatahnya yang melucukan itu membuatkan segala masalah hilang begitu sahaja.

“Namun, penjagaan rapi burung peliharaan sentiasa diperlukan,” katanya yang memberitahu Rajawali yang dibeli dengan harga RM5,000 itu pernah ditawarkan harga sehingga RM100,000, namun dia enggan menjualnya.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 19 tahun yang berasal dari Indonesia itu memberitahu, semua burungnya turut dilatih menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Yip Siew Ling berkata, seramai 300 orang menyertai program yang bertujuan mengeratkan hubungan peminat haiwan itu dari seluruh negara.


0 comments:

share2