Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 22, 2016

LIM KIT SIANG DIBALING TELUR OLEH AHLI DAP


JERANTUT - Kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah ke daerah ini pagi semalam disambut dengan sedikit kekecohan apabila sebahagian ahli DAP bertindak membaling telur dan mencabut papan tanda Pusat Khidmat Rakyat DAP Parlimen Jerantut.

Setiausaha Parlimen DAP Jerantut, Hussein Chou Abdullah berkata, tindakan dilakukan sebagai tanda protes ahli akar umbi DAP terhadap Ngah Ngah.

Menurutnya, kejadian itu juga berpunca dari rasa tidak puas hati ahli akar umbi terhadap penetapan calon pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) yang lalu.

“Kami tak puas hati kerana ketika itu (PRU 13), Ngah Ngah tak beri perhatian dan keutamaan kepada calon pilihan kami, Koh Boon Heng.

“Mereka (pimpinan DAP) sebaliknya meletakkan calon PKR sebagai mewakili kerusi Dun Damak justeru kami berpakat untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Ngah Ngah yang datang bersama Kit Siang dalam satu siri jelajah ke sini, hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, pada PRU 13 lalu, pihak akar umbi amat berharap agar Boon Heng bertanding kerusi DAP bagi Dun Damak memandang beliau ketika itu merupakan Naib Pengerusi DAP Pahang selain sebagai Pengarah Pilihan raya negeri.

“Kami kecewa kerana DAP pilih untuk letakkan calon lain sedangkan Cikgu Koh (Boon Heng) telah lama memberikan khidmat kepada masyarakat Dun Damak.

“Cikgu Koh mula beri khidmat pada 2009 sehingga PRU 13 namun sebaliknya mereka meletakkan calon yang tidak melakukan sebarang usaha,” katanya.

Menurutnya, kesan dari itu, Boon Heng bertindak bertanding di atas tiket bebas sekali gus menyebabkan tercetusnya pertandingan empat penjuru merebut kerusi Dun Damak pada PRU 13 yang lalu.

“Kesan dari perpecahan itu, MCA memenangi kerusi hanya dengan 64 undi sedangkan jika mereka mencalonkan Cikgu Koh, kita pasti dapat menang kerusi Dun Damak ketika itu,” katanya.

Tambahnya lagi, susulan daripada itu, pihaknya berhasrat untuk membubarkan tiga cawangan DAP daerah ini iaitu cawangan Taman Sri Tahan, Taman Intan dan Bandar Inderapura di mana satu pemilihan baharu akan dibuat untuk ketiga-tiga cawangan terbabit.

Dalam pada itu, kehadiran Kit Siang dan Ngah Ngah ke daerah itu semalam merupakan siri jelajah ramah mesra bersama Pakatan Harapan bertempat di Restoran Tong Nam Hin.

Jelajah itu difahamkan bermula di Karak, Mentakab, Jerantut dan berakhir di Lipis.

0 comments:

share2