Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kesihatan serta kerajaan negeri berhubung penutupan Pusat Hemodialisis Mawar Hospital di Seremban yang memberi kesusahan kepada pesakit terus mendapatkan rawatan terbabit.
Menurut beliau apa yang disuarakan itu bukanlah bermaksud untuk menyelamatkan hospital berkenaan tetapi apa yang penting adalah pusat homodialisis terbabit telah menyediakan kemudahan kepada lebih 800 pesakit sebelum ini.
“Saya dapat tahu orang-orang yang dulunya menjadi pesakit Mawar Hemodialisys Centre amat tertekan sekarang kerana dengan ditutup pusat tersebut di Seremban mereka kini bertaburan dan ada yang terpaksa tunggu sehingga pukul 2 pagi untuk mendapatkan rawatan hemodialisis.
“Saya tidak faham mengapa Kementerian Kesihatan menutup hospital tersebut. Kalau nak tutup hospital berkenaan, tutuplah bahagian hospital sahaja dan pusat hemodialisis kita sambunglah. Kalau pun pengurusan lama tidak boleh buat, kita ‘mobilizelah’ apa sahaja yang kita boleh buat… dan saya dengar tuan punya Mawar minta kerajaan untuk menyelamatkan Mawar dengan jumlah RM25 juta sahaja. Kalau saya masih mentadbir kerajaan Negeri Sembilan, saya lelap mata ambil alih… kerana tanah tidak perlu bayar sebab tanah kerajaan… cuma diminta untuk selesaikan hutang dan juga masalah RM25 juta. Nak buat semua itu lebih daripada jumlah berkenaan,” katanya pada sidang media di Command Centre BN, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya mempersoalkan mengapa perkara berkenaan berlaku sedangkan pelbagai usaha boleh dibuat demi kepentingan pesakit yang sebelum ini mendapatkan rawatan hemodialisis.
“Harap semua ini dapat diberikan perhatian segera oleh Kementerian Kesihatan dan juga kerajaan Negeri Sembilan. Berpakat elok-elok dan jangan kita ego sangat. Kita tidak patut kata ini UMNO ka, BN ka, Cina ka, Melayu ka, India ka… yang penting hal ehwal masyarakat mesti kita jaga khususnya yang berkaitan dengan kesihatan.
“Kita dengar pun kesianlah dengan pesakit-pesakit yang terpaksa dihantar naik ambulans daripada Seremban sehingga ke Kuala Pilah… macam-macam. Ada yang terpaksa tunggu lama di HTTJ. Mengapa ini perlu berlaku. Kalau tidak pun berpakat dengan syarikat yang menguruskan dahulu untuk uruskan pusat homodialisis berkenaan sebab kemudahan dah ada… teruskan.
“Zaman saya jadi MB dulu pusat hemodialisis itu air pun kita bagi percuma… cara untuk kita membantu dan menolong. Tetapi hari ini saya amat kesal kerana tidak ada apa usaha dilakukan. Bukan saya suruh selamatkan Mawar. Saya mahu kebajikan pesakit-pesakit itu diberikan keutamaan,” tambahnya lagi.
0 comments:
Post a Comment