Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 22, 2016

SENI PERTAHANAN DIRI MALAYSIA DIKAGUMI


Kuantan - Gabungan seni mempertahankan diri di Malaysia dikagumi negara luar kerana memiliki keunikan tersendiri apabila mampu menyatukan pelbagai aliran seni itu dalam satu majlis ataupun program bersama.

Pemangku Presiden Majlis Pendekar Malaysia, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkara sedemikian tidak berlaku di negara luar kerana seni mempertahankan diri di sana lebih selesa bergerak sendiri.

“Kita boleh buat carian jika program Perhimpunan Seni Mempertahankan Diri seperti di Malaysia ini dilaksanakan di negara luar, tidak ada, perkara sebegini tidak ada di Korea dan di Jepun.



“Tetapi kita di sini kita unik, kita boleh duduk bersatu dan apabila saya bentang model ini di Korea, 60 negara tidak percaya kita boleh buat. Bagi mereka mustahil dengan pelbagai kaum, perbezaan warna kulit, agama berbeza kita boleh duduk semeja membincangkan masa depan seni mempertahankan diri.

“Di Jepun misalnya, mereka bukan sahaja satu bangsa, malah satu warna tetapi mereka tidak boleh duduk semeja dan bersama dalam satu program ataupun acara seperti di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Seni Mempertahankan Diri Pahang 2016 di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Seni Mempertahankan Diri Pahang, Datuk Osman Nok dan Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) negeri, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah.

Pada program itu, sebanyak 30 aliran seni mempertahankan diri dengan lebih 300 ahlinya mempamerkan persembahan satu gerak satu seni secara bersama.


Megat Zulkarnain berkata, keunikan itu secara langsung memberi kelebihan kepada negara untuk menjadikan seni bela diri ini sebagai platform untuk mengukuhkan penyatuan dan integrasi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Seni pertahanan diri perlu dipertahankan kerana merupakan platform terbaik dalam penyatuan kaum apatah lagi senario terkini menunjukkan banyak krisis berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, selain menyatukan masyarakat, seni bela diri juga berupaya melahirkan generasi muda dengan semangat jati diri yang kuat dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

0 comments:

share2