Kuala Nerang - Ahli dan kepimpinan Umno di peringkat akar umbi perlu memberi fokus kepada pengukuhan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mereka perlu memberi keutamaan kepada parti dan bukannya kepada individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata kepimpinan di peringkat akar umbi juga perlu mengatur pelbagai program pengukuhan bagi menyatupadukan ahlinya dan memberi sokongan padu kepada parti.
"Saya yakin 21,300 cawangan Umno di seluruh negeri memberi sokongan kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menjadikan parti lebih kuat.
"Segelintir ahli dan kepimpinan Umno yang teragak-agak (dengan kepimpinan sedia ada) agar kembali menyokong parti," katanya mengulas mengenai surat terbuka oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada ketua cawangan Umno baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Umno Cawangan-cawangan Bahagian Padang Terap di sini, malam tadi.
Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah berkata walaupun Dr Mahathir berasal dari Kedah, seluruh ahli Umno tetap menyokong kepimpinan Najib.
"Yang penting solidariti Umno kepada Najib dan kita menolak Deklarasi Mahathir bersama parti DAP. Umno Kedah hanya sokong parti dan kepimpinan Najib," katanya.
Mahdzir yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Terap bersama kepimpinan Umno Bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita serta jawatankuasa Umno Cawangan turut melafazkan ikrar taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti.
Dalam ikrar tersebut, lebih 200 anggota dan kepimpinan akar umbi turut menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang disertai DAP, Parti Amanah Negara dan PKR pada 4 Mac lepas.
Mereka juga mahu MT Umno memecat ahli Umno yang terlibat dalam deklarasi tersebut dengan segera dan turut berikrar untuk berkerja keras bagi memastikan Umno menang pada PRU14.
0 comments:
Post a Comment