Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 19, 2016

'SOKONG DEKLARASI RAKYAT MACAM SOKONG BEBAS ANWAR'


Saiful Bukhari


Shah Alam - Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa ada pihak menjemputnya untuk menyokong Deklarasi Rakyat.

Namun menurutnya, beliau terpaksa menolak selain tidak mahu mencampuri urusan politik, beliau juga tidak mahu melanggar sumpah laknat yang dilafazkannya sebelum ini.

“Saya sedia maklum bahawa tiada klausa dalam deklarasi tersebut terkandung agenda membebaskan Anwar. Penaung deklarasi ini juga dengan tegasnya menyatakan bahawa deklarasi ini tidak ada kena mengena dengan ‘Bebas Anwar’.

“Namun, kita juga sedia maklum bahawa rata-rata 90 peratus daripada mereka yang menandatangani dan menyokong deklarasi, berhasrat menggunakan ia sebagai platform untuk membebaskan Anwar. Mereka mendesak agar agenda pembebasan Anwar berjalan seiring Deklarasi Rakyat.

“Buktinya sangat jelas kerana ia telah diperakui sendiri oleh (Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail),” katanya melalui catatan di blognya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan itu menandatangani deklarasi yang menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, menurut Saiful beliau telah menyimpulkan bahawa menyokong Deklarasi Rakyat sama dengan menyokong pembebasan Anwar.

“Jadi wajarkah saya sokong gerakan tersebut? Gerakan yang mana majoriti ahlinya mahu Anwar dibebaskan?

“Jika saya sokong, maka secara tidak langsung saya akan dilabel sebagai pembohong, melakukan penipuan di mahkamah dan lebih besar lagi iaitu melanggar sumpah laknat saya yang telah saya lafazkan di Masjid Wilayah dan Masjidil Haram. Justeru, tidak sesekali saya akan berbuat demikian,” katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas gagal mendapat pengampunan diraja Februari tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan kesalahan dan hukuman kerana meliwat Mohd Saiful.


0 comments:

share2