Percubaan seorang petani, Omar Ali, 71, untuk mengusahakan ternakan rusa di Kampung Gelam, Tok Uban, di sini, empat tahun lalu, memberi pulangan lumayan apabila perusahaannya semakin berkembang dari hari ke hari.
Mana tidaknya, walaupun bermula dengan hanya 12 rusa, namun kini ternakan diusahakan di belakang rumahnya itu sudah mencecah lebih 57 ekor.
Omar berkata, idea untuk menternak rusa itu datang daripada anak kelimanya, Baharudin.
“Dialah (Baharudin) yang berpakat dengan adik-beradiknya. Mereka kemudian bersepakat mengeluarkan modal bagi menternak rusa ini.
“Kebetulan anak-anak memang suka haiwan. Daripada hobi tersebut, kami realisasikan sebagai cabang sumber pendapatan,” katanya.
Menurutnya, mereka memilih untuk menternak rusa kerana mudah dijaga berbanding haiwan lain seperti lembu, kambing dan sebagainya.
“Haiwan ini hanya makan rumput dan makanan tambahan. Penjagaannya juga cukup mudah. Bagaimanapun, rusa tidak boleh terkejut bagi mengelakkan ia bertindak agresif,” katanya.
Kata Omar lagi, dia juga lega apabila mereka sekeluarga mendapat tunjuk ajar Jabatan Veterinar.
“Sebelum ini saya jual rusa untuk memenuhi permintaan bekalan daging yang tinggi di pasaran. Namun kini saya jual untuk dijadikan sebagai baka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment