Penduduk Kampung Tanah Putih Feri, di sini gempar apabila melihat seekor buaya tembaga berukuran sepanjang hampir dua meter muncul di tebing parit kelmarin.
Penduduk, Zabedah Md Derus, 63, berkata, sejurus selepas dimaklumkan oleh anaknya, dia bergegas ke lokasi dinyatakan untuk melihat buaya itu.
Menurutnya, reptilia tersebut antara yang paling besar pernah dilihat setelah lebih 40 tahun tinggal kawasan ini.
“Memandangkan keadaan rumah kami yang terletak di kawasan parit yang alirannya sampai ke Sungai Kuantan, tidak hairanlah jika ada buaya tersesat masuk.
“Sejak saya kecil lagi buaya memang selalu sesat ke kampung kami tapi kali ini pertama kali saya lihat buaya bersaiz besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini kelmarin.
Sebaik tersebar mengenai kehadiran buaya di tebing parit itu, penduduk di sekitar Bukit Setongkol dan Cenderawasih berpusu-pusu mahu melihat sendiri reptilia terbabit yang muncul pada kira-kira jam 5.30 petang.
Sheikh Baharul Hisham Sheikh Baharom, 49, berkata, buaya tersebut kemungkinan datang dari kuala Sungai Kuantan di hujung kampung dan sesat masuk ke dalam parit di kampung terbabit.
“Bagi saya, selagi buaya tersebut tidak mendatangkan ancaman kepada penduduk, biarlah ia tinggal di dalam parit ini.
“Sampai masanya apabila air pasang berlaku, ia akan pergi ke habitatnya semula di kuala Sungai Kuantan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Khairiah Mohd Sharif berkata, pegawainya sudah dihantar ke lokasi buaya itu ditemui bagi memantau keadaan sekeliling.
“Biasanya kawasan seperti parit sememangnya habitat reptilia ini. Kami nasihatkan penduduk agar tidak mengganggu buaya itu kerana mungkin ia akan bertindak agresif sekiranya ada ancaman,”katanya.
Beliau berkata, reptilia itu akan kembali semua ke habitat asalnya yang terletak berdekatan dan pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
0 comments:
Post a Comment