Kota Tinggi – Penantian lima tahun peniaga dan juga jemaah surau di Bazar Kota Tinggi dekat sini yang memohon agar sebuah tandas dibina di kawasan berkenaan, akhirnya tercapai selepas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) memulakan projek pembinaan tandas tersebut.
Pengerusi Bazar Kota Tinggi, Yusof Minang berkata, dia dimaklumkan tandas terbabit dibina dengan kos RM400,000 hasil peruntukan diterima daripada kerajaan persekutuan.
“Dijangka projek pembinaan tandas ini siap Mei ini. Kita juga diberitahu tandas itu merupakan antara tandas tercanggih yang mana hanya ada 14 tandas seperti itu di semenanjung Malaysia.
“Apa pun kami peniaga dan jemaah di sini lega dan sangat gembira kerana selama ini kami memang mengharapkan adanya satu tandas dibina di bawah, kerana tandas sedia ada di tingkat dua Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang memerlukan orang awam memanjat tangga sekali gus menjadi masalah terutama buat warga emas.
“Banyak juga kes berlaku orang awam yang tidak tahan sangat ke tandas mereka bertindak membuang air kecil di merata tempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Yusuf, dia juga mengucapkan terima kasih kepada MDKT yang sangat prihatin membina kemudahan tersebut yang terletak betul di hadapan surau di bazar itu.
Katanya, sesuai dengan tempoh pembinaannya yang dijangka siap pada Mei ini iaitu sebelum Ramadan, ia akan membuatkan jemaah lebih selesa untuk menunaikan solat tarawih selepas ini.
“Kami senang hati dengan pembinaan tandas ini kerana sudah lama tunggu. Alhamdulillah mungkin ini berkat doa orang ramai juga yang mengimpikan kemudahan itu selama ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment