Kuala Lumpur - Pemuda Umno menggesa pihak tertentu jangan mudah menghukum seseorang pemimpin itu hanya berdasarkan situasi awal semata-mata kerana tindakan itu dilihat tidak beretika dan melulu.
Exco pemudanya, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, desakan melulu beberapa pihak yang mahu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meletak jawatan berikutan kes pegawai kanan kementerian itu ditahan SPRM atas tuduhan menyeleweng dana kerajaan adalah desakan melampau.
Tegas beliau, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno tidak boleh dijadikan kambing hitam dalam kes berkenaan kerana ia melibatkan seorang individu dan bukannya organisasi kementerian itu.
"Jangan cepat melatah dan nak jatuhkan hukuman kepada orang yang tak terlibat dalam sesuatu kes kerana ia hanya akan menggambarkan kedangkalan anda dalam menilai sesuatu situasi.
"Kita kena ingat kes penyelewengan ini babitkan individu dan yang dituduh dia...bukannya salah keseluruhan organisasi (kementerian), kenapa nak desak Khairy letak jawatan," katanya.
Jelas Sheikh Nafiq, sepatutnya pihak berkenaan atau rakyat memberi pujian kepada Ahli Parlimen Rembau itu yang bertindak segera dengan mengakui pegawai kanan yang terbabit itu adalah dari KBS.
Katanya, ketelusan dan keterbukaan Khairy dalam mengendalikan kes itu adalah sesuatu yang positif, malah beliau sendiri bersedia memberikan sokongan penuh kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut.
"Keterbukaan Khairy dan respons segera beliau dalam kes berkenaan adalah satu tindakan penuh professional serta tidak bersifat 'sembunyi diri.
" Masyarakat seharusnya menyokong pendirian menteri KBS ini dalam bersama SPRM membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Beliau boleh dijadikan contoh pemimpin berwibawa," katanya.
0 comments:
Post a Comment