Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 22, 2016

MAUT JATUH BANGUNAN SELEPAS RAGUT PELANCONG


Maut jatuh bangunan selepas ragut pelancong


Georgetown - Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika cuba melompat dari bumbung sebuah hotel bajet ke bahagian bumbung sebuah rumah di Lebuh Chulia di sini, semasa cuba melarikan diri selepas meragut seorang pelancong warga asing malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu, lelaki berusia 29 tahun dipercayai berasal dari Trong, Perak itu bertindak meragut seorang pelancong wanita yang sedang minum di sebuah kedai di kawasan Lebuh Chulia.

"Selepas meragut telefon bimbit mangsa, lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang rakan wanitanya yang menunggu di luar kedai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata orang ramai yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejar dua suspek terbabit dan mereka terus melarikan diri dengan memecut laju motosikal sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar tembok di tepi jalan.

Katanya kedua-dua mereka terjatuh sebelum lelaki itu bertindak melarikan diri, bagaimanapun rakan wanitanya berusia 23 tahun berjaya ditahan oleh orang ramai yang berada di situ.

Mior Faridalathrash berkata lelaki itu yang takut ditangkap oleh orang ramai bertindak melarikan diri dengan berlari ke arah sebuah hotel bajet di situ sebelum naik ke tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Dia kemudian melompat dari tingkat tiga hotel bajet itu untuk ke bumbung bangunan sebelah sebelum terjatuh. Lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi," katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Katanya wanita yang ditahan itu akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pelancong dari Sepanyol berusia 30-an yang disamun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia turut membuat laporan polis, katanya.


0 comments:

share2