Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 21, 2016

KWSP UMUM DIVIDEN 6.4 PERATUS BAGI TAHUN 2015


kwsp


Shah Alam - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan kadar dividen 6.4 peratus dengan jumlah bayaran dividen keseluruhan sebanyak RM38.24 bilion bagi tahun 2015.

Memetik laporan Astro Awani, kadar tersebut disifatkan KWSP sebagai pencapaian yang melebihi jangkaan pasaran memandangkan situasi ekonomi semasa yang mencabar.

KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM44.23 bilion pada Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2015, peningkatan sebanyak 13.18 peratus berbanding RM39.08 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi jumlah ini, sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar satu peratus dividen bagi tahun 2015, peningkatan sebanyak 10.53 peratus berbanding pembayaran sejumlah RM5.43 bilion pada tahun 2014.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan berkata, pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas aset dalam beberapa negara dan pasaran.

"Walaupun korelasi antara pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenalpasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran yang menarik," tambah Tan Sri Samsudin.

“Program pelaburan luar negara KWSP berstruktur, yang dilaksanakan secara formal pada 2006, menyumbang 48 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun ini walaupun pendedahan hanya 25 peratus dari jumlah aset pelaburan, seterusnya melangkau prestasi aset domestik,” kata Tan Sri Samsudin yang juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga KWSP atas pencapaian yang baik pada tahun ini.


0 comments:

share2