Kuala Lumpur - Puteri Umno hari ini tampil mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan menaikkan harga pengangkutan awam yang dilihat dibuat secara mendadak.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan kenaikan tersebut menambah tekanan kos sara hidup terutamanya golongan muda.
"Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD untuk mengkaji semula dan merationalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang membebankan pengguna melalui kenaikan tambang LRT serta ERL yang mendadak serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi perkhidmatan baru iaitu Bus Rapid Transit (BRT).
"Kerisauan orang muda kini adalah tekanan kos sara hidup yang meningkat. Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga, beban kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang perlu diambil kira," katanya semasa merasmikan Persidangan Puteri Umno, di sini, hari ini.
Katanya, perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan keperluan kos sara hidup yang merangkumi kos pengangkutan, tempat tinggal dan keperluan untuk menyimpan untuk masa depan.
"Statistik menunjukkan lebih 50 peratus pengguna pengangkutan awam adalah dari kumpulan umur dibawah 35 tahun dan 52 peratus pengguna tersebut adalah golongan pelajar. Kita perlu sedar bahawa matlamat memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan melalui lebih banyak pilihan mod pengangkutan dengan kos yang berpatutan untuk menjalankan aktiviti seharian.
"Jika kita gagal menarik minat kumpulan sasaran ini, matlamat jangka panjang untuk menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan nombor satu tidak akan dicapai dan ini akan menyebabkan negara ketinggalan dalam merealisasikan matlamat pembangunan lestari yang merupakan tren pembangunan global," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah Prasarana Malaysia Berhad yang menawarkan pakej diskaun kepada golongan pelajar, warga emas dan OKU.
Pihaknya juga berharap tawaran tersebut turut dilakukan oleh semua syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.
0 comments:
Post a Comment