Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 3, 2015

[KUANTAN] KERETAPI KL-KUANTAN RANCAKKAN EKONOMI PANTAI TIMUR


KTMB KTM


Cadangan kerajaan membina landasan kereta api terus dari Kuala Lumpur ke Kuantan bukan hanya memantapkan sistem pengangkutan awam sedia ada malah menjadi satu daripada faktor bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat, demikian pandangan beberapa komuniti perniagaan di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pahang (DPMM) Datuk Abd Rahman Daud berkata landasan itu kelak akan menarik ramai pelabur memandangkan golongan itu dapat memilih perkhidmatan keretapi untuk mengangkut barangan perniagaan mereka ke kawasan Pantai Timur khususnya Kuantan.

"Sekian lama menunggu landasan keretapi ini dibina kerana kita tahu ia memang memberi manfaat kepada penduduk Kuantan dan kegiatan ekonomi di negeri ini.

"Kita juga berharap dengan pembinaan landasan kereta api ini, pembangunan di kawasan Pantai Timur lebih seimbang seperti negeri-negeri lain di Pantai Barat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selasa lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada persidangan Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan membina landasan kereta api terus dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Abdul Aziz berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar mengenai rancangan jangka panjang kerajaan untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api di kawasan Pantai Timur.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata kewujudan landasan itu kelak membantu pelabur menjimatkan masa, kos perjalanan dan pengangkutan untuk ke Kuantan.

"Jika sebelum ini faktor masa dan kos mungkin menjadi penyebab 'kemalapan' ekonomi negeri ini berbanding negeri di Selatan dan Utara tanah air yang dilengkapi kemudahan pengangkutan dan bersepadu selain pelabuhan, landasan keretapi dan lapangan terbang.

"Jika projek itu (pembinaan landasan keretapi) dilaksanakan segera, Insya-Allah negeri-negeri di Pantai Timur akan lebih maju apabila taraf ekonomi rakyat meningkat sepertimana dinikmati rakyat di kawasan Selatan dan Utara tanah air," katanya.

Pengurus Pemasaran Jakel Kuantan, Mohd Ekram Johar berpendapat apabila projek itu siap, beliau yakin gedung tekstil terkenal itu akan dikunjungi ramai pelanggan khususnya dari kawasan pedalaman di Pahang. 

Katanya, rungutan sering diterima daripada pelanggan yang tinggal di Temerloh dan Jerantut mengenai kesukaran mereka untuk ke gedung tekstil itu memandangkan tiada pengangkutan khusus dari kawasan mereka ke Kuantan. 

"Ini satu 'rahmat' kepada perniagaan kami kerana dengan adanya landasan itu nanti ia memudahkan pelanggan di sepanjang laluan kereta api untuk terus ke Kuantan tanpa perlu bersusah payah turun naik bas atau teksi, malah tambang juga mungkin lebih murah," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Sukinah Daud berkata sebagai seorang daripada pengguna pengangkutan awam, pembinaan landasan keretapi itu akan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam sedia ada.

"Ia satu lagi alternatif selepas lebuh raya Pantai Timur dan pengangkutan udara. Ini akan memudahkan rakyat untuk bergerak ke mana-mana destinasi terutama jika mereka ingin perjalanan terus ke kawasan Utara Semenanjung," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar laluan kereta api itu dibina di kawasan yang tidak menghadapi risiko banjir.

"Faktor ini perlu diambil kira supaya apabila terputus hubungan jalan raya ketika banjir, kita ada perkhidmatan kereta api untuk menghantar bekalan makanan serta memindahkan mangsa serta ke pusat-pusat pemindahan," katanya.


0 comments:

share2