Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 4, 2015

[JENGKA] 264 TERIMA SURAT TAWARAN RUMAH


Wan Salman Wan Ismail


Pejabat Felda Wilayah Jengka menyerahkan surat tawaran kepada 264 pemohon bagi projek Perumahan Warga Felda (PWF) di Felda Jengka 19.

Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, proses pengundian tapak lot rumah juga telah dilakukan.

Katanya, kini bergantung kepada pihak bank sama ada meluluskan atau tidak pinjaman yang dibuat pemohon.

“Perumahan tersebut mempunyai 184 unit rumah kos rendah berharga RM38,000 seunit.

“Baki 80 unit lagi adalah rumah kos sederhana bernilai RM93,000 seunit.

“Kos keseluruhan pembinaan RM23.7 juta dan akan menjadi milik individu terpilih daripada 5,000 orang yang memohon,” katanya.

Wan Salman berkata, semua pemohon menerima surat tawaran yang diuruskan oleh Pejabat Felda Wilayah Jengka dan mereka diberi tempoh tertentu untuk melakukan permohonan pinjaman dengan pihak bank.

Menurutnya, PWF Jengka 19 terletak di laluan utama Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak Jengka-Jerantut malah hampir dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Pemohon yang terpilih menerima rumah itu sebenarnya sangat bertuah kerana daripada ribuan yang memohon mereka yang terpilih.

“Felda turut menyediakan subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi membolehkan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri seterusnya menetap di tanah rancangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 PWF dibina di negeri ini iaitu di Taman Mempaga Utama (Bentong), Taman Bukit Goh Perdana (Kuantan), Taman Lepar Hilir Saujana (Kuantan) dan Taman Desa Keratong Indah (Rompin),” katanya.


0 comments:

share2