Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 29, 2015

SASAR 500,000 RUMAH PR1MA MENJELANG 2018


Ali Hamsa


Kuala Lumpur - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yakin dapat mencapai sasaran menyediakan 500,000 rumah PR1MA menjelang 2018. 

Pengerusi PR1MA yang juga Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata setakat ini sebanyak 227,776 buah rumah di bawah PR1MA telah diluluskan di seluruh negara meliputi 90 projek.

"Lebih banyak projek PR1MA akan diumumkan dan setakat ini kita juga tidak mendengar sebarang aduan kesukaran daripada pembeli berkenaan kelulusan pinjaman daripada bank-bank yang menawarkan pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan cabutan undi bagi projek PR1MA Alam Damai, Cheras di Ekspo Rumah PR1MA 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

PR1MA menawarkan rumah berharga daripada RM100,000 sehingga RM400,000 untuk rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan isi rumah antara RM2,500 sehingga RM10,000.

Ali berkata setakat ini juga PR1MA telah menerima sebanyak 1.17 juta permohonan dari seluruh negara.

"PR1MA yakin akan dapat menawarkan lebih banyak rumah dengan kerjasama daripada lebih 80 pemaju perumahan yang bersedia menawarkan rumah untuk projek berkenaan," katanya.

Perumahan komuniti PR1MA menyediakan kawasan penempatan yang dilengkapi kemudahan taman rekreasi, tadika, pusat komuniti, kedai 1Malaysia dan kawalan keselamatan.


0 comments:

share2