Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 29, 2015

[KUANTAN] ISU BAUKSIT: SAGUHATI SECARA BULANAN DIBERI


Isu bauksit: Saguhati secara bulanan diberi


Penduduk dan peniaga yang terjejas dengan debu bauksit di Bukit Goh akan menerima saguhati secara bulanan bagi menampung kerugian dan kerosakan harta benda yang mereka alami sejak aktiviti bauksit diwujudkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Datuk Abd Wahid Abd Manap bagaimanapun berkata, saguhati tersebut akan disalurkan kepada individu yang dikenal pasti mengikut jumlah sumbangan daripada pihak kontraktor.

“Pada kali ini kita salurkan sumbangan sejumlah RM1,000 bagi setiap peniaga manakala RM500 kepada penduduk yang terjejas teruk.

“Ini sahaja yang mampu kita berikan kepada mereka ini memandangkan kita hanya mendapat sedikit sahaja peruntukan daripada kontraktor bauksit di sekitar Bukit Goh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas berakhirnya majlis penyampaian wang sagu hati oleh Adun Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohamed Shah kepada 40 penerima yang terdiri daripada penduduk Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan dan Felda Neram di Dewan Orang Ramai Felda Bukit Goh di sini, semalam.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikannya begitu memahami kesengsaraan penduduk dan peniaga sehingga ada yang mengalami kerugian teruk akibat pencemaran debu bauksit ini.

Abd Wahid memaklumkan peruntukan itu akan diberikan sehingga aktiviti perlombongan ini berakhir dan pihaknya akan berusaha agar penduduk dan peniaga terjejas mendapatkan hak mereka.

Tujuh kontraktor bauksit salur sumbangan

Dalam pada itu, Abd Wahid berkata, hanya tujuh daripada 21 kontraktor bauksit yang mengatakan kesediaan untuk bekerjasama dan memberikan peruntukan secara bulanan kepada Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh.

“Setakat ini kita hanya memperoleh sekitar RM70,000 daripada tujuh kontraktor itu dan sumbangan yang diterima adalah mengikut persetujuan yang dicapai sebelum ini.

“Ikutkan persetujuan setiap kontraktor akan menyumbangkan sebanyak RM10,000 bagi permulaan pertama, seterusnya RM5,000 setiap bulan sehingga kerja-kerja perlombongan selesai,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, peruntukan daripada tujuh kontraktor tersebut sebenarnya tidak mencukupi dan tidak dapat menampung keseluruhan kos sebenarnya.

“Selain membela nasib penduduk, kita ingin bina pagar, kerja-kerja mencuci dan sebagainya bagi membolehkan kawasan tidak terus tercemar.

“Bila perkara sedemikian dapat dilaksanakan saya percaya masyarakat di sekitar Bukit Goh akan selesa kerana segala aktiviti bauksit ini dapat dikawal dan ditangani sepenuhnya oleh pihak kita,” katanya.

Abd Wahid berkata, pihaknya kini akan mengadakan sesi perbincangan bersama 14 kontraktor lagi dalam masa terdekat untuk memberi penerangan lebih terperinci lagi.

Selain itu, beliau berkata, segala peruntukan diperoleh akan dimasukkan ke dalam akaun bendahari dan pihaknya akan membuat laporan kewangan serta akan diberikan kepada Adun Sungai Lembing, pihak pengurusan Felda dan pihak kontraktor bagi membolehkan mereka mengetahui duit berkenaan disalurkan.

Bina pagar, kerja pencucian dilakukan

Bagi mengawal aktiviti perlombongan itu, Abd Wahid berkata, pihaknya telah membina enam pagar di seluruh kawasan Bukit Goh bagi tujuan pemantauan lori bauksit.

Katanya, pembinaan pagar berkenaan menggunakan sepenuhnya peruntukan daripada Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh yang dianggarkan berjumlah RM15,000.

“Bila adanya pagar ini, lori akan dapat beroperasi pada waktu ditetapkan sahaja iaitu bermula pada jam 8 pagi manakala pada musim hujan pula pagar akan ditutup sepenuhnya.

“Tindakan sebegini dilakukan bagi memastikan pemandu lori mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan negeri dan bagi mengelak kesesakan pada waktu kemuncak,” katanya.

Abd Wahid berkata, untuk membina pagar ini sememangnya memerlukan kos dan kontraktor sepatutnya menyalurkan sumbangan selain dapat membayar gaji pekerja.

“Jadi mengikut kenyataan Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) kos ini perlu ditanggung kontraktor dan bukan kerajaan negeri,” katanya.

Di samping itu, pihaknya turut menjalankan kerja-kerja pencucian di jalan berkenaan pada jam 2 hingga 4 pagi setiap hari dengan menggunakan dua unit lori.

Dalam perkembangan sama, Abd Wahid akan mempertimbangkan cadangan penduduk setempat supaya Jawatankuasa berkenaan melaksanakan sistem permit dan kupon seperti yang dilaksanakan di Kampung Selamat.

Penduduk, peniaga mampu tarik nafas lega

Sementara itu, penduduk dan pengusaha kedai makan di sekitar Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu yang terjejas kini boleh menarik nafas lega apabila pengusaha lombong bersetuju memberi saguhati sebagai ganti rugi.

Salah seorang peniaga makanan di Felda Bukit Kuantan, Masriza Mohd Ali, 34, berkata, pampasan itu diharap dapat meringankan bebanan sejak aktiviti perlombongan bauksit bermula di kawasan berkenaan.

“Kalau nak kira, pampasan ini tidak mencukupi. Tapi sekurang-kurangnya ia membantu sikit kami yang terjejas pendapatan,” katanya.

Tuan Meriam @ Tuan Sharifah Tuan Bakar, 65, pula berkata, sumbangan RM500 itu membolehkannya memasang jaring bagi menghalang debu bauksit daripada masuk.

“Rumah makcik berhampiran jalan raya besar, boleh dikatakan setiap hari makcik terpaksa membasuh lantai akibat debu merah,” katanya.


0 comments:

share2