Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 7, 2015

LEPAS JAWATAN MB, MUKHRIZ MASIH BERTEKA-TEKI


Lepas jawatan MB, Mukhriz masih berteka-teki


Alor Setar – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih berteka-teki mengenai kesediaannya melepaskan jawatan yang disandang sejak 2013. 

Perkara itu mula menjadi viral di laman Facebook selepas beliau menghadiri perjumpaan tertutup bersama pimpinan Umno Kedah dan Umno Pusat di Dewan Seri Mentalon, di sini, hari ini. 

Mukhriz bagaimanapun masih menutup mulut dengan tidak mengiakan atau menafikan viral itu dengan menyifatkan bahawa sokongan rakyat perlu diutamakan. 

“Apa sekalipun keputusan pucuk kepimpinan, saya sendiri termasuk semua kepimpinan juga lebih mengutamakan apa kehendak rakyat. 

“Ini kerana kita tahu rakyat yang menentukan menang atau tidak dalam PRU14 nanti,” katanya kepada media, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Viral yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Edisi Siasat menyebut "Alhamdulillah YAB DS MM sedia berundur sebagai MB Kedah demi kelangsungan Umno". 

Mengulas mengenai perjumpaan itu, Mukhriz menyatakan sokongan penuh terhadap apa sekali pun keputusan yang dibuat oleh kepimpinan peringkat pusat.

“Dalam Bajet 2016 pun ada beberapa perkara yang disebut dan Kedah sangat terhutang budi atas kesungguhan kerajaan membantu kita untuk meyakinkan rakyat.

“Inilah manfaat yang rakyat boleh rasai apabila ada kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang datang dari parti yang sama,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui bahawa Kedah amat menagih perhatian kerajaan pusat kerana ia merupakan sebuah negeri yang kecil dan kurang dari segi pendapatan. 

“Saya seronok apabila Timbalan Perdana Menteri datang ke Kedah dan menunjukkan komitmen serta memberi aspirasi untuk kami mempertahankan Kedah,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengambil kesempatan memperjelaskan situasi yang berlaku terhadap Mukhriz seperti yang diviralkan di laman Facebook. 

“Kita yang memikul amanah dan tanggungjawab mesti bersedia pada bila-bila masa untuk mengundur diri apabila amanah dan tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan.

“Tetapi seandainya apa yang kita buat ini mesti berkisar kepada keputusan parti dan tidak bercanggah dengan apa yang diuar-uarkan di media sosial,” katanya.

Menurutnya, Umno mempunyai cara sendiri untuk menentukan arah tuju parti dan disiplin ahli. 

“Sebab itu saya menyokong penuh apa yang dinyatakan Mukhriz. Itu pandangan saya secara peribadi.

“Itu adalah amanah yang kita pikul. Jika perlu untuk kepentingan parti, maka kita undur. Tiada apa yang pelik dalam kenyataan Mukhriz itu,” katanya.


1 comments:

  • Anonymous says:
    November 7, 2015 at 11:28 PM

    Bapa yang nyanyuk dan buat onar kenapa anak pula yang kena hukum. Mukriz dah banyak buat pembetulan kepada negeri Kedah yang caca marba ketika ditinggalkan oleh PAS.

    Orang Muda mahu Mukriz dikekalkan. Bapa borek anak tak semestinya rintik.

share2