Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 7, 2015

[KUANTAN] BOMBA KERAH SEMUA LOGISTIK


Bomba kerah semua logistik


Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang akan menggerakkan semua kemudahan logistik termasuk perkhidmatan helikopter dalam menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula awal Disember ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, semua anggota kini dalam keadaan bersiap sedia termasuk dari segi penyediaan kenderaan bagi tugas menyelamat.

Menurutnya, kesemua 22 balai bomba telah digerakkan dari segi keanggotaan dan kelengkapan dalam operasi penyelamat dan pemindahan mangsa.

“Latihan kemahiran menggunakan peralatan menyelamat telah dilaksanakan bermula Jun hingga November ini.

“Mana-mana balai bomba yang tidak terlibat juga turut dilatih untuk bersiap siaga dari segi keanggotaan bagi membantu balai yang terlibat bila diperlukan,” katanya.

Bomba juga akan menggunakan kekuatan 958 anggota bomba dan bomba bantuan, dan 1,600 pasukan bomba sukarela terlibat dalam operasi menyelamat banjir tahun ini.

Sebanyak 76 bot pelbagai jenis termasuk jet ski dan lima helikopter turut disediakan dan bersiap siaga di pos kawasan bomba di beberapa kawasan sekitar tempat banjir.

“Walaupun semua balai ada kemudahan jentera, kita akan susun pergerakan pengaturan aset ini mengikut situasi banjir yang berlaku nanti.

“Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan akan berlaku lebih pada biasa akan berlaku di kawasan pesisir pantai bermula dari Kuantan sehinggalah ke Rompin.

“Jabatan mengambil kira, mana-mana balai di sekitar kawasan tersebut telah bersiap sedia dengan pengaturan aset telah sedia,” katanya.

Abdul Wahab berkata, bomba juga bekerjasama dengan komuniti setempat dengan menyediakan latihan kepada mereka yang menjadi penyelamat pertama sebelum bantuan pihak berkuasa sampai.

“Senarai tempat pemindahan telah dikenal pasti dan penduduk juga telah mendapat edaran risalah mengenai peranan mereka sekiranya banjir berlaku.

“Sekiranya kemudahan banjir besar seperti tahun lepas terjadi, kemudahan aset ini tidak mencukupi, pihak bomba dan penyelamat Malaysia telah menetapkan negeri yang bersempadan negeri Pahang akan membantu.

“Selain itu, semua cuti pegawai turut dibekukan bagi kelancaran proses menyelamat mangsa banjir nanti,” katanya.


0 comments:

share2