Maklumat tidak betul yang menjadi viral di media sosial menyukarkan usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kapli Emek kira-kira 75 peratus viral di media sosial tidak benar manakala sebahagian yang lain ditokok tambah.
“Hasil dari tinjauan mendapati hanya sedikit maklumat di aplikasi WhatsApp adalah tepat kerana kebanyakannya sudah ditokok tambah sehingga menimbulkan pandangan negatif sesetengah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama ahli jawatankuasa Rukun Tetangga negeri di sini, semalam.
Justeru, katanya, penyebaran berita berkenaan tidak perlu dilakukan terutama sebagai pemimpin masyarakat.
“Jika kita prihatin, mengapa kita harus berperanan menyebarkan berita seumpama itu,” katanya.
Katanya, cabaran lain dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk adalah tindakan segelintir pihak menyebarkan isu yang menghina agama dan kaum.
Menurutnya, perkara itu perlu dibendung lebih awal supaya usaha memupuk perpaduan yang menjadi antara aspek utama dalam membangunkan negara dapat diteruskan.
Beliau turut menyarankan supaya pemimpin setempat memikirkan kaedah bersama menghadapi masalah berkenaan.
Kapli turut mencadangkan masyarakat diperkukuhkan dengan lima prinsip Rukun Negara bagi mewujudkan kembali sikap menghormati sekali gus memupuk perpaduan masyarakat majmuk negara.
“Peranan pemimpin di peringkat akar umbi juga penting bagi membina bangsa Malaysia positif kerana tidak akan ada individu luar yang boleh melakukannya kecuali kita sendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment